Jumaat, 16 Disember 2016

Malaysia mampu lepasi kelayakan Piala Belia Asia

ARKIB : 06/03/2000
SKUAD bola sepak bawah 19 tahun kebangsaan diyakini mampu melepasi peringkat kelayakan Piala Belia Asia di Kuala Lumpur Jun ini dan melangkah ke pusingan akhir di Tehran, November depan.

Malah, ketua jurulatih Allan Harris berkata, skuad bimbingannya tidak mustahil layak ke pusingan akhir Piala Belia Dunia Ke-11 di Trinidad & Tobago pada 2001 jika mereka berjaya ke Tehran.

Meskipun ia satu impian yang sukar menjadi kenyataan, Harris berpendapat, skuad negara mampu mencecah ke peringkat yang amat diharapkan itu jika semua pemain menanam kesungguhan tinggi.

''Mereka memang bercita-cita demikian dan mereka akan cuba buktikannya pada kelayakan di Kuala Lumpur nanti. Mereka yakin dengan kemampuan mereka.

''Cuma halangan besar yang perlu kita atasi pada kelayakan itu ialah Korea Selatan.

''Jika kita berjaya mengatasi mereka, kita pasti ke Tehran dan tidak mustahil ke Trinidad & Tobago,'' tegas Harris semasa mengendali skuad negara di Wisma FAM, Kelana Jaya, kelmarin.

Menurut Harris, dia yakin skuadnya mampu beraksi cemerlang Jun ini dengan kembalinya dua bintang remaja negara yang kini berada di luar negara, penyerang Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Juzaili Samion.

Akmal dan Juzaili kini sedang berlatih bersama kelab FC Strasbourg dan FC Haguenau dalam Liga Amatur Perancis.

Pada kelayakan Belia Asia yang berlangsung di Kuala Lumpur Jun ini, Malaysia diletakkan sekumpulan dengan Korea Selatan, Singapura, Macau dan Filipina.

Juara kumpulan ini akan ke pusingan akhir di Tehran pada November ini untuk menyertai sembilan lagi pasukan yang layak.

Tiga pasukan teratas dari Asia akan layak ke Piala Belia Dunia di Trinidad & Tobago pada pertengahan 2001.

Kata Harris, tiga perlawanan persahabatan yang diatur bulan ini di Myanmar dan Thailand selain lawatan ke Sepanyol dan Perancis, memberi kesempatan terbaik buatnya dan pemain untuk memantapkan pasukan.

Malaysia akan bermain dua perlawanan dengan skuad bawah 19 tahun Myanmar pada 11 dan 13 Mac dan bertemu Thailand 15 Mac. Mereka akan berlepas ke Myanmar Khamis ini.

''Saya harap ia mampu menambahkan lagi kekuatan pasukan kita,'' ujar Harris yang pernah bertindak selaku penolong pengurus di kelab gergasi Sepanyol, Barcelona.

Pasukan itu kini berada pada tahap tertinggi selepas kunjungan ke Dubai Disember lalu selain menerima suntikan moral apabila menang 6-1 ke atas kelab dari New Zealand, Otago Development, 2 Februari lalu.

SKUAD BAWAH 19 TAHUN KEBANGSAAN
PEGAWAI: Allan John Haris (ketua jurulatih), B. Sathianathan (penolong jurulatih), Raja Gopal (pegawai perubatan), M. Chandran (pegawai pentadbir).

PEMAIN: Mohd Zulkifli Affendi, Rudie Ramli, Mohd. Fadzli Saari, Tengku Alias Tengku Ibrahim, Zairo Annuar Zalani, Khairul Azhareen Khairuddin, Mohammad Faizal Abdul Rashid, Mohammad Syamsuri Mohammad Mustafa, Rezuan Radzey, Irwan Fadzli Idrus, Rajni Kajendran, Norhainizam Shahbuddin, Mohd. Syaiful Sabtu, Norzul Azuan Yunos, Norhafiz Zamani, Rajan Koran, Mohd. Marzuki Yusof, Azralan Azmi, Indra Putra Mahayuddin, Azmizan Che Abdullah, K. Thayalan

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0306&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4T3TrcYuw © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan