MUHAMMAD Khalid Jamlus (No. 10) menerima ucapan tahniah rakan sepasukan, Mohd. Shawal Johadi (8) dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli selepas menjaringkan gol keduanya ke atas Filipina pada perlawanan bola sepak pra-Olimpik di Stadium Hong Kong, semalam. Malaysia menang 6-1. - Gambar Reuters.
HONG KONG - Malaysia menunaikan janjinya apabila menewaskan pasukan bukan pilihan, Filipina 6-1 pada perlawanan bola sepak pusingan pertama kelayakan Sukan Olimpik Kumpulan Enam Asia di Stadium Hong Kong, semalam.
Jaringan Muhammad Khalid Jamlus (minit 27 dan 30), Akmal Rizal Ahmad Rakhli (minit 37 dan 89), M. Gopalan (minit 65) dan Chow Chee Weng (minit 80) mencerahkan harapan Malaysia menduduki tempat kedua di belakang Jepun yang menguasai pusingan pertama. Gol tunggal Filipina dijaringkan Richmond Braga pada minit ke-47.
Malaysia yang sebelum ini tewas 4-0 kepada Jepun dan seri 2-2 dengan Hong Kong akan bertemu Nepal esok.
Enam minit pertama semalam milik Malaysia yang mengasak kubu Filipina bermula dengan rembatan kencang Khalid dari luar kotak penalti. Selepas beberapa kali mencuba, Khalid memastikan Malaysia di hadapan selepas berjaya melepasi halangan David Dan Orbeta sebelum merembat dari jarak 25 meter mengatasi penjaga gawang, Romeo Francis Paranpan pada minit ke-27.
Khalid menambah jaringan tiga minit kemudian apabila menyambar hantaran ke belakang Dan Padernal diikuti rembatan Gilbert Cassedy Gawing yang terkena palang sebelum ditanduk masuk Akmal Rizal pada minit ke-37.
Babak kedua agak mencemaskan apabila gerakan penyerang Filipina, Leigh James Gunn memaksa penjaga gol Malaysia, Megat Amir Faisal Ibrahim keluar dari kawasan kotak penalti untuk menyelamatkan kubu tetapi bola terkena tangan.
Pengadil U Tin Aung (Myanmar) memberikan sepakan percuma kepada Filipina yang disudahi tendangan cantik yang masuk ke dalam gawang Malaysia pada minit ke-47.
Filipina tertekan dan Wilson Dela Cruz menjatuhkan Akmal Rizal dalam kotak penalti Filipina. Gopalan mudah menyumbat masuk tendangan penalti pada minit ke-65 untuk mendahului 4-1.
Malaysia terus ghairah menambah jaringan. Sepakan Gilbert tidak disia-siakan Chow yang menanduk masuk gol minit ke-80. Akmal Rizal memperdaya dua pemain Filipina, Wilson dan Percian Temporosa untuk menolak masuk jaringan seminit sebelum tamat permainan dengan kedudukan kedudukan 6-1.
Jepun pula melengkapkan perlawanan pusingan pertama dengan kemenangan 4-1 ke atas Hong Kong.
Gol Jepun dijaringkan oleh Shunfuke Nakamura (minit ketujuh), Shinji Ono (15), Kota Yoshihara (44) dan Yoshiteru Yamashita minit ke-75. Gol tunggal Hong Kong dijaringkan oleh Poon Man-chun minit ke-89. - Utusan.
Oleh: ZAINUL AZHAR ASHARI
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0619&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Rstw9egY © Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan