ARKIB : 19/05/1999
ABDUL Rahman Ibrahim (kanan)
menjawab soalan wartawan sambil diperhatikan Arsene Wenger pada sidang akhbar
pasukan Malaysia dan Arsenal di Petaling Jaya, semalam. - Gambar ZULAZHAR
SHEBLEE.
''APAKAH Malaysia mampu beraksi
seperti Aston Villa?,'' kata pemain Arsenal, Tony Adams pada sidang akhbar
perlawanan bola sepak persahabatan menentang Malaysia di Petaling Jaya,
semalam.
Ia mungkin sekadar gurauan
kosong Adams tetapi tidak sepatutnya diambil ringan oleh kesebelasan utama
Malaysia apabila turun di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam
ini.
Adams, 33, cuba mengimbas
perlawanan sengit antara Arsenal dengan Aston Villa di Highbury Park yang
menyaksikan pasukan bimbingan Arsene Wenger itu menang tipis 1-0, Ahad lalu.
Adams dan 20 rakan sepasukannya
bagaimanapun tetap menjanjikan persembahan bermutu sebagaimana ketika Liga
Perdana England walaupun turut menyedari tuan rumah di atas kertas bukanlah
tandingan sebenar Arsenal.
''Kami dalam keadaan cukup
bersedia untuk menghadapi Malaysia. Memenangi setiap perlawanan yang ditempuh
menjadi misi utama kami biarpun sekadar dalam perlawanan persahabatan,'' kata
Adams.
Dia bagaimanapun turut
menyangkal tanggapan bahawa aksinya kebelakangan ini sudah mulai tunduk kepada
faktor usia.
''Saya masih mampu bermain
selagi yang saya mahu,'' katanya seolah cuba menyembunyikan unsur kelemahan
tersebut yang mampu dimanfaatkan oleh barisan penyerang Malaysia.
Pandangan Adams itu turut
dikongsi dengan Seaman, 36, sambil menambah: ''Saya tidak nampak kebenaran
bahawa faktor usia yang kerap diperkatakan media sudah mempengaruhi ketangkasan
saya mengawal gawang.
''Dalam erti kata lain, belum
terlintas di hati untuk saya bersara,'' kata Seaman yang juga penjaga gol utama
England.
Sebaliknya Malaysia harus
menukar gurauan tersebut menjadi pembakar semangat untuk menampilkan tentangan
habis-habisan terhadap lawan.
Buat ketua pasukan B. Rajnikandh,
Azman Adnan dan Zami Mohd. Noor serta jurulatih Abdul Rahman Ibrahim yang turut
menghadiri sidang tersebut, gurauan tersebut mampu dijadikan senjata yang bakal
memakan tuan.
Jika Allahyarham Mokhtar Dahari
dan Isa Bakar mampu membolosi gawang Arsenal pada 1975, tiada sebab mengapa
Azman dan Zami sukar mengulanginya dengan bertemankan lebih 60,000 penonton
yang telah lama merindui aksi antarabangsa bola sepak Malaysia.
Ini merupakan aksi sulung
Malaysia di Kuala Lumpur sejak skuad kebangsaan dibubarkan akibat kekalahan
memalukan pada Sukan SEA XIX Jakarta, Oktober 1997.
Sementara itu, aksi malam ini
turut mencatatkan kunjungan kedua kelab Arsenal yang pernah tumpas dengan dua
jaringan Mokhtar dalam perlawanan persahabatan di Stadium Merdeka, Kuala
Lumpur.
Malaysia kemudian berjaya
mengikat pelawat 1-1 dalam perlawanan di Pulau Pinang hasil jaringan Isa Bakar.
Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0519&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RlK3Gnzb
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan