Sabtu, 3 Disember 2016

20 tonggak disenarai

ARKIB : 18/05/1999
SEBAHAGIAN pemain skuad bola sepak kebangsaan giat menjalani latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam menjelang perlawanan persahabatan menentang Arsenal, malam esok. - Gambar ZAINI HUSIN.

JURULATIH skuad bola sepak kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim semalam mengumumkan barisan 20 pemain yang bakal beraksi menentang Arsenal malam esok dengan memasukkan muka baru dalam skuad - Wan Rohaimi Wan Ismail dari Pahang.

Selain penyerang berusia 22 tahun itu, turut berada dalam senarai ialah bekas pemain Olimpik 2000, M. Elangoo dan pemain pertahanan Pahang, Mohd. Ali Tahar.

Manakala selebihnya adalah muka lama yang pernah menganggotai skuad negara antaranya B. Rajinikandh, Anuar Jusoh, Ahmad Shahruddin Rosdi, Yap Wai Loon, Nazri Yunos, Ahmad Shahrulazhar Sofian, Zami Mohd. Nor dan Azman Adnan.

Bagaimanapun perancang tengah Perak, Azrul Amri Burhan dan penjaga gol Pahang Mudzar Mohamad diketepikan daripada skuad bersama enam lagi pemain.

Mereka ialah Chan Wing Hong, Yusri Che Lah (Perlis), Rizal Sukiman, Azmil Azali (Johor) serta pemain muda dari Kedah, Cheah Kean Seng dan Adrien Jurad Chamrong.

Abdul Rahman semasa mengumumkan barisan pemain itu dalam sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam berkata, pemain yang diketepikan kebanyakannya belum bersedia untuk beraksi di peringkat antarabangsa selain kecederaan yang dialami.

''Azrul belum boleh beraksi pada peringkat ini, begitu juga dengan Adrien, Wing Hoong dan Kean Seang manakala Yusri cedera serius di buku lali.

''Rizal dan Azmil yang beraksi dalam Perdana Dua pula tidak dapat menyaingi prestasi seperti mana pemain dari Perdana Satu ketika latihan dan keadaan itu memberi kesan kepada dua pemain ini,'' katanya di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Mengenai tiga muka baru itu, Abdul Rahman berkata, mereka terpilih ke dalam skuad kerana mempamerkan aksi baik dan konsisten ketika latihan.

Menurut jurulatih itu, kebanyakan pemain yang dipilih untuk perlawanan dengan kelab ternama dalam Liga Perdana England itu juga adalah daripada kumpulan umur yang dianggap sesuai untuk aksi peringkat antarabangsa.

''Barisan ini dikira yang terbaik untuk perlawanan dengan Arsenal. Menerusi barisan ini, kita dapat melihat kemampuan pasukan baru kita dan perlawanan dengan Arsenal adalah permulaan bagi mereka,'' katanya.

Bagaimanapun menurut jurulatih itu, lapan pemain yang diketepikan itu akan dipanggil semula untuk menjalani latihan pusat selepas perlawanan dengan Arsenal.

''Mereka diketepikan hanya untuk perlawanan dengan Arsenal dan akan dipanggil semula selepas itu.

Oleh: JOHARI SHAWAL

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0518&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RlBeD9t0 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan