Jumaat, 2 Disember 2016

Peluang cuci aib '97

ARKIB : 16/05/1999
JURULATIH skuad bola sepak negara, Abdul Rahman Ibrahim berkata, undian pasukan bagi temasya Sukan SEA XX Brunei, Ogos ini yang diadakan semalam dianggap begitu mencabar tetapi menarik.

Katanya, cabaran pasti datang daripada pasukan naib juara temasya lalu, Indonesia selain Singapura yang mana kedua-dua pasukan itu berada pada kedudukan lebih atas dari skuad negara dalam ranking FIFA.

Begitu pun katanya, apa yang menarik ia memberi ruang buat pasukan kebangsaan memperbaiki imej yang tercalar sesudah aib yang diterima pada temasya sebelum itu di Jakarta, dua tahun lalu.

Menurutnya, walaupun Malaysia kini berada pada kedudukan ke-113 dalam senarai FIFA, masih ada kesempatan untuk memperbaiki kedudukan itu dan temasya di Brunei bakal menyaksikan kesungguhan negara memulihkan imej.

''Apa pun, saya yakin sasaran kita iaitu mara ke separuh akhir temasya itu boleh dicapai. Walaupun kedudukan kita dalam ranking dunia di bawah Indonesia dan Singapura, kita yakin dapat mencatat keputusan terbaik di sana,'' katanya di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Nasib Malaysia dalam temasya ke-20 itu bagaimanapun bakal pudar lebih awal apabila diletakkan dalam Kumpulan B bersama Indonesia dan Singapura yang dianggap pasukan pilihan dari kumpulan itu, selain Kemboja dan Brunei.

Malaysia akan menentang Singapura pada perlawanan pembukaan pada 31 Julai sebelum bertemu Indonesia dua hari kemudian.

''Memang bukan mudah untuk menewaskan Indonesia dan Singapura tetapi kita mesti berfikir secara positif dan berusaha mengatasi segala halangan.

''Tetapi satu perkara, pemain yang di bawah kendalian saya kini dilihat benar-benar bersemangat,'' katanya.

Menurut jurulatih itu, perlawanan persahabatan dengan Arsenal Rabu ini sebenarnya meningkatkan motivasi pemain untuk bertarung pada pertandingan di peringkat antarabangsa.

Pada temasya di Jakarta, skuad negara di bawah pengurusan Del Akbar Khan gagal melepasi pusingan pertama dengan tumpas 0-4 kepada Indonesia dan 0-1 kepada Laos di peringkat kumpulan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0516&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Rl7umW4j © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan