ARKIB : 15/05/1999
ABDUL Rahman Ibrahim berbual
seketika dengan Azman Adnan semasa latihan skuad bola sepak negara di Wisma
FAM, Kelana Jaya, semalam menjelang perlawanan persahabatan menentang Arsenal,
Rabu ini. - Gambar MOHD. NOOR AMIN.
JURULATIH negara, Abdul Rahman
Ibrahim berkata, kesebelasan utama skuad bola sepak kebangsaan yang bakal
menentang Arsenal Rabu ini dipilih di kalangan pemain senior kerana pemain muda
belum bersedia untuk beraksi pada peringkat antarabangsa.
Katanya, pemain muda yang
berada dalam senarai utama dan simpanan baginya kurang pengalaman dan belum
mampu beraksi di peringkat itu.
''Apa lagi menentang pasukan
yang kuat seperti Arsenal ini. Pastinya kita tidak harus menurunkan pemain yang
kurang atau tidak mempunyai pengalaman langsung di peringkat antarabangsa untuk
menentang pasukan segagah itu,'' katanya.
Bagaimanapun menurut Abdul
Rahman, kenyataannya itu bukan bermakna pemain muda tidak akan mendapat tempat
dalam skuad kebangsaan.
''Saya nyatakan hanya mengenai
perlawanan dengan Arsenal. Ini bukannya untuk membunuh karier mereka tetapi
kita harus realistik dalam menyediakan pasukan yang betul untuk menentang kelab
itu,'' kata jurulatih itu selepas latihan skuad negara di Wisma FAM, Kelana
Jaya, semalam.
Menurut Abdul Rahman, pemain
muda yang dipanggil berlatih dalam skuad negara bagaimanapun masih berpeluang
mendapat tempat untuk perlawanan-perlawanan persahabatan akan datang sebelum
pemilihan terakhir bagi Sukan SEA XX Brunei, Ogos ini.
''Jadi, tidak timbul soal gugur
menggugur seseorang pemain itu buat masa ini. Mereka akan tetap berlatih dan
masih mempunyai ruang untuk bersama pasukan.
''Mereka harus berasa beruntung
dapat berlatih dengan pemain senior seperti Azman (Adnan), B. Rajinikandh, Yap
Wai Loon dan sebagainya,'' katanya.
Abdul Rahman kelmarin sudah
membayangkan kesebelasan pemain yang bakal menentang Arsenal di Stadium
Nasional, Bukit Jalil.
Kecuali M. Elangoo, semua
pemain pilihan jurulatih itu adalah pemain senior dengan Azman dan Zami Mohd.
Nor diberi kepercayaan menerajui barisan serangan.
Bahagian pertahanan dikemudi
Abdul Ghani Malek, Anuar Jusoh, Moey Kok Hong, Asmawi Bakiri dan Nazri Yunos
manakala Wai Loon, Idris Karim dan Ahmad Shahruddin Rosdi mengemudi jentera
tengah.
Selain Elangoo, pemain muda
lain dalam skuad itu ialah penyerang Kedah, Cheah Kean Seng dan rakan
sepasukannya Adrien Jurad Chamrong.
Menjelang perlawanan menentang
kelab Liga Perdana England itu, Abdul Rahman semalam menumpukan latihan kesesuaian
pemain di segenap posisi terutama gandingan Azman dan Zami selain ketepatan
membuat hantaran.
''Mereka belum serasi.
Hantaran-hantaran bola sesama sendiri juga belum berapa baik, mungkin mereka
baru digandingkan,'' ujarnya.
Sementara itu, undian menentukan
kumpulan bagi acara bola sepak pada temasya Sukan SEA Brunei, dijadual dibuat
hari ini di Bandar Seri Begawan.
sepuluh pasukan termasuk juara
bertahan Thailand dan naib juara Indonesia mengesahkan bertanding pada temasya
dwitahunan itu pada 7-15 Ogos. Acara bola sepak dijadualkan bermula pada 31
Julai.
Oleh: JOHARI SHAWAL
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0515&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Rl5650hX
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan