ARKIB : 14/05/1999
GANDINGAN Azman Adnan dan Zami
Mohd. Noor semakin pasti mendapat kepercayaan jurulatih kebangsaan Abdul Rahman
Ibrahim bagi membentuk pasangan penyerang kembar Malaysia menentang Arsenal
pada perlawanan bola sepak persahabatan, Rabu ini.
Sekalipun sesi latihan skuad
negara hanya memasuki hari pertama semalam, nama Azman dan Zami tampak
cenderung diketengahkan jika menilai prestasi mereka pada Liga Perdana Satu
kebelakangan ini.
Rahman sendiri membayangkan
untuk memilih penyerang Pulau Pinang dan Negeri Sembilan itu dengan alasan ciri
pengalaman akan banyak membantu Malaysia menghadapi gergasi Liga Perdana
England ini.
Turut berada dalam senarai
kesebelasan bayangan Rahman ialah dua pemain Terengganu - Abdul Ghani Malik dan
Anuar Jusoh serta Moey Kok Hong dari Pulau Pinang bagi mengisi posisi benteng
tengah skuad negara.
Rahman juga berkemungkinan
besar meletakkan pemain sisihan Olimpik 2000, M. Elangoo bersama-sama Asmawi
Bakiri dalam menghadapi jentera serangan import Arsenal yang dibarisi oleh
Nwankwo Kanu, Marc Overmars dan Nicolas Anelka.
Sementara yang mendapat
tanggungjawab di bahagian tengah daripada bekas jurulatih Terengganu itu ialah
Yap Wai Loon, Idris Karim dan Ahmad Shahruddin Rosdi.
Cuma posisi penjaga gol masih
dibiarkan dalam teka-teki yang menyaksikan persaingan pemain dari tiga pasukan
teratas Perdana Satu - Mudzar Mohamed (Pahang), Azlisham Ibrahim (Pulau Pinang)
dan Azmin Azram Aziz (Negeri Sembilan).
Andainya mutu konsisten semasa
turut dikira sebagai ciri tambahan pemilihan, Mudzar dan Azmin mempunyai
peluang yang lebih cerah untuk tampil di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Rabu
ini.
Sayangnya, penampilan Yusri Che
Lah bersama skuad negara, kian diragui apabila pemain tengah Perlis itu
mengalami kecederaan buku lali kanannya.
''Cuma Yusri yang nampak sukar
menjalani latihan. Buku lalinya cedera serius,'' kata Rahman ketika ditemui di
Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, semalam.
Kehilangan Yusri itu
bagaimanapun memungkinkan Rahman menoleh senarai 13 pemain yang turut
disenaraikan dalam barisan simpanan selain daripada 28 pelatih utama.
Perlawanan menentang Arsenal
ini merupakan aksi antarabangsa ketiga skuad negara sejak dibentuk semula
selepas dibubarkan ekoran kekalahan memalukan pada Sukan SEA XIX Jakarta 1997.
Malaysia sebelum ini mengadakan
perlawanan persahabatan di Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan menyertai Piala
Dunhill kedua di Bandar Raya Ho Chi Minh, Januari dan Februari lalu.
Sementara itu, mulai hari ini,
orang ramai yang mahu membeli tiket perlawanan berharga RM30, RM50 dan RM100,
bolehlah mendapatkannya di kaunter Stadium Nasional yang dibuka mulai 12 tengah
hari hingga 6 petang.
Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0514&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Rl3VwtQG
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan