ARKIB : 13/05/1999
SEBAHAGIAN pemain skuad bola
sepak Olimpik 2000 gigih berlatih menjelang perlawanan persahabatan di China
minggu ini sebelum mengharungi kempen kelayakan Olimpik di Hong Kong, bulan
depan. - Gambar ZULKARNAIN MOHD. SAIDIN.
SKUAD bola sepak Olimpik 2000
menjanjikan persembahan paling maksimum pada pusingan kelayakan kumpulan enam
Zon Asia di Hong Kong bermula 14 Jun ini.
Untuk itu, tiga perlawanan
persahabatan yang akan diadakan di China minggu ini menjadi medan bagi pasukan
itu meneliti dan mengkaji serta memperbaiki bahagian-bahagian yang dilihat
mempunyai kelemahan ketara.
Jurulatih Hatem Souissi
berkata, perlawanan di China memberi ruang terakhir baginya mengukuhkan pasukan
yang dibentuk sejak lima tahun itu sebelum mengharungi pusingan kelayakan.
''Kita sengaja mengadakan
perlawanan di sana walaupun kita tahu pasukan yang akan kita tentang adalah
pasukan yang gagah.
''Itulah sasaran kita sebelum
pusingan kelayakan kerana kita harus terus mengadakan perlawanan persahabatan
yang kompetetif,'' kata Hatem selepas sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya,
semalam.
Skuad negara akan berlepas ke
China pagi ini dan dijadual mengadakan tiga perlawanan persahabatan di sana -
menentang skuad Olimpik China pada 15 Mei, kelab liga simpanan Guang Zhou
Apollo pada 17 Mei dan Guang Zhou Matsunichi FC pada 19 Mei sebelum pulang ke
tanah air keesokannya.
Menurut Hatem, tiga pasukan itu
adalah ujian paling baik untuk skuad negara.
Sebanyak 22 pemain disenaraikan
ke China begitu pun, penyerang V. Saravanan dan pemain pertahanan Yuzaiman
Zahari selain penjaga gol keempat Olimpik, Kamaruzzaman Hassan dan Zalmie
Jamlus tidak bersama pasukan ke China akibat kecederaan yang dialami
masing-masing.
Saravanan belum pulih daripada
kecederaan pangkal paha manakala Yuzaiman yang mengalami kecederaan di hidung
semasa beraksi pada Kejohanan Empat Penjuru, belum bersedia untuk bermain.
''Secara psikologi, semua
pemain sudah bersedia untuk kelayakan ini kerana pemain sudah mampu bermain
sebagai satu pasukan.
''Semangat pemain juga tinggi
dan saya percaya kita mampu mencapai keputusan terbaik di Hong Kong nanti,''
katanya.
Pada kejohanan empat penjuru di
Kuala Lumpur bulan lalu yang dianggap perlawanan pemanas badan sebelum
kelayakan Sukan Olimpik, skuad negara mencatat satu kemenangan, satu seri dan
kalah sekali untuk menamatkan aksi di tempat ketiga.
Pada pusingan kelayakan Asia,
Malaysia diletakkan dalam kumpulan bersama-sama Jepun, Nepal, Hong Kong dan
Filipina. Pusingan pertama dilangsungkan di Hong Kong dan Jepun menganjurkan
pusingan kedua.
Oleh: JOHARI SHAWAL
Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0513&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RkypURFu
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan