Jumaat, 2 Disember 2016

13 pemain bersedia dipanggil - Rahman

ARKIB : 13/05/1999
JURULATIH negara, Abdul Rahman Ibrahim berkata, 13 pemain yang berada dalam senarai simpanan diminta bersedia untuk dipanggil ke dalam skuad bola sepak kebangsaan bagi menjalani latihan menjelang perlawanan persahabatan dengan Arsenal, Rabu depan.

Katanya, peluang mereka untuk menyarung jersi kebangsaan masih ada dan akan dipanggil jika ada antara pemain dalam skuad 28 pemain pilihan FAM tercedera ketika latihan atau menghadapi masalah-masalah tertentu.

''Jadi, mereka yang berada dalam senarai simpanan masih ada peluang untuk berlatih bersama skuad kebangsaan,'' kata jurulatih itu di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Semua pemain yang disenaraikan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melapor diri semalam kecuali lima pemain Pulau Pinang, Azman Adnan, Azlisham Ibrahim, Moey Kok Hong, V. Thinagaran dan Asmawi Bakiri.

Lima pemain itu tidak melapor diri kerana masih berada di Brunei selepas beraksi menentang skuad Borneo itu dalam Perdana Satu dan hanya akan melapor diri, hari ini.

Abdul Rahman berkata, hanya 20 daripada 28 pelatih skuad bola sepak kebangsaan akan dipilih untuk perlawanan dengan Arsenal, kelab dalam Liga Perdana England yang kini sedang memburu kejuaraan liga buat kali kedua berturut-turut.

Perlawanan itu dijadual berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

''Hanya 20 pemain yang dianggap terbaik mendapat tempat bagi perlawanan dengan Arsenal dan mereka yang ingin mendapat tempat perlu merebutnya.

''Begitu pun, siapa yang akan dipilih akan ditentukan selepas latihan kerana kita tidak tahu keadaan semua pemain kerana mereka baru selesai mengharungi perlawanan Liga Malaysia semalam,'' kata Abdul Rahman.

Senarai baru pemain skuad kebangsaan yang dikendalikan buat kali kedua di bawah Abdul Rahman sebahagian besar dibarisi pemain senior manakala pemain junior diletakkan dalam senarai simpanan.

Bagaimanapun jurulatih itu berkata, jika mereka tidak terpilih untuk perlawanan menentang Arsenal, mereka masih ada peluang untuk bersama-sama skuad untuk beberapa perlawanan persahabatan sebelum pemilihan muktamad untuk Sukan SEA XX Brunei.

Skuad Arsenal yang diperkuatkan dengan bintang Piala Dunia Perancis, Emmanuel Petit dan Marc Overmars dari Belanda selain pemain England, Tony Adams dan David Seaman dijadualkan tiba di Malaysia, Isnin ini.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0513&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4Rky3xrSV © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan