ARKIB : 04/05/1999
AZMAN ADNAN kembali dalam skuad
negara selepas dua tahun tidak dipanggil.
BEKAS penyerang sensasi negara,
Azman Adnan, yang disisihkan daripada skuad bola sepak kebangsaan sejak Sukan
SEA 1997 Jakarta dua tahun lalu, kembali menyarung jersi kebangsaan selepas
namanya disenaraikan dalam skuad baru yang diumumkan semalam.
Bekas bintang Selangor itu yang
kini beraksi dengan Pulau Pinang dalam Liga Malaysia, dipilih bersama-sama 42
lagi pemain bagi memikul tugas negara terutama perlawanan persahabatan
menentang kelab Liga Perdana England, Arsenal pada 19 Mei ini di Kuala Lumpur.
Selain pemain berusia 28 tahun
itu, penyerang Selangor Rusdi Suparman, Wan Rohaimi Wan Ismail dari Pahang dan
penyerang muda Cheah Kean Seang (Kedah).
Jurulatih skuad negara, Abdul
Rahman Ibrahim ketika mengumumkan barisan baru skuad negara itu berkata, pemilihan
43 pemain itu dibuat berdasarkan persembahan terkini masing-masing dalam kempen
Liga Malaysia.
''Barisan ini adalah adunan
antara pemain lama dan baru dan mereka dipilih berdasarkan prestasi baik
selepas tamat pusingan pertama Liga Perdana selain pengalaman pemain itu
sendiri.
''Saya anggap mereka adalah
yang terbaik dan mampu menghasilkan keputusan yang terbaik,'' kata Abdul Rahman
dalam sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Menurut jurulatih itu, kriteria
lain pemilihan berdasarkan kekerapan diturunkan selaku kesebelasan utama
pasukan negeri masing-masing sepanjang musim lepas dan musim ini.
Azman tidak berada dalam
senarai pasukan kebangsaan sejak pasukan negara dibubarkan selepas aib yang
diterima di Jakarta dua tahun lalu.
Prestasi Azman dalam Liga
Malaysia musim ini amat memberangsangkan apabila menjaringkan tujuh gol
daripada 10 perlawanan untuk membantu Pulau Pinang menerajui Liga Perdana Satu.
Turut berada dalam senarai kali
ini ialah perancang utama Perak, Azrul Amri Burhan selain pemain lama dalam
skuad kebangsaan, B. Rajinikandh, Ahmad Shahrudin Rosdi, Yusri Che Lah, Anuar
Jusoh, Syamsul Amri Abu Bakar dan Zami Mohd. Nor.
Penjaga gol kebangsaan, Azmin
Azram Aziz masih disenaraikan tetapi Abdul Rahman turut memanggil penjaga gol
Pulau Pinang, Azlisham Ibrahim dan Mudzar Mohamad dari Pahang.
Bagaimanapun pemain Selangor,
K. Sanbagamaran dan Faizal Zainal dari Negeri Sembilan tidak berada dalam
senarai Abdul Rahman kali ini.
Begitu pun, jumlah itu akan
dikurangkan untuk satu-satu kejohanan atau pertandingan sebelum pasukan 22
pemain dibentuk untuk temasya Sukan SEA XX di Brunei, Ogos ini.
''Semua pemain diminta
melaporkan diri di FAM pada 12 Mei ini untuk latihan pusat. Kita mungkin akan
mengadakan sekurang-kurangnya satu perlawanan persahabatan sebelum menentang
Arsenal,'' kata jurulatih itu.
Selain menentang Arsenal,
pasukan yang kini bertakhta di persada Liga Perdana England, skuad negara bakal
mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan kebangsaan New Zealand di Kuala
Lumpur pada 1 dan 3 Julai, lawatan ke Uzbekistan pada 7-14 Julai dan menentang
Singapura pada 22 Julai sebelum mengharungi Sukan SEA Brunei.
''Kita harap selepas
mengharungi semua perlawanan persahabatan itu, kita mempunyai pasukan teras
yang kemungkinan terdiri daripada tiga perempat pemain senior dan satu perempat
junior untuk Sukan SEA di Brunei, Ogos ini,'' kata Abdul Rahman.
SENARAI PEMAIN
Penjaga gol: Azlisham Ibrahim
(Pulau Pinang), Azmin Azram Aziz (Negeri Sembilan), Mudzar Mohamad (Pahang).
Pertahanan: V. Thinagaran
(Pulau Pinang), Abdul Ghani Malek (Terengganu), Syamsul Amri Abu Bakar
(Selangor), Mohd. Ali Tahar (Pahang), Azmil Azali (Johor), Adrien Jurad
Chamrong (Kedah), Moey Kok Hong (Pulau Pinang).
Tengah: Nazri Yunos (Sarawak),
Anuar Jusoh (Terengganu), Chan Wing Hoong (Perak), Asmawi Bakiri (Pulau
Pinang), Zami Mohd. Nora (Negeri Sembilan), M. Elangoo (Negeri Sembilan), B.
Rajinikandh (Negeri Sembilan), Ahmad Shahruddin Rosdi (Pahang), Yusri Che Lah
(Perlis), Idris Karim (Johor), Azrul Amri Burhan (Perak), Rizal Sukiman
(Johor), Yap Wai Loon (Sabah), Ahmad Shahrul Azhar Sofian (Negeri Sembilan).
Penyerang: Azman Adnan (Pulau
Pinang), Rusdi Suparman (Selangor), Wan Rohaimi Wan Ismail (Pahang), Cheah Kean
Seng (Kedah).
Pemain simpanan: Amirul Zain
Ismail, Lim Chan Yew (Selangor), M. Karunakaran, Azali Mat Jusoh, Mohd. Farid
Dewan, G. Muthu (Kuala Lumpur), Rezal Zambery Yahya (Johor), Mohd. Hamzani Omar
(Johor FC), Mohd. Hairul Nizam (Pahang), Rizal Awang Jad (Sabah), Ahmad
Zalghafari Manaf, Rafiz Abu Bakar (Kedah), Sri Jaafar A. Rahman (Melaka).
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0504&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RgSVsXCo
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan