ARKIB : 02/05/1999
JURULATIH skuad bola sepak
Olimpik 2000, Hatem Souissi tidak bimbang dengan keputusan yang dicatat skuad
negara pada Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru yang berakhir kelmarin.
Katanya, skuad bimbingannya
sudah bersedia untuk menghadapi cabaran pusingan kelayakan Kumpulan Enam Zon
Asia di Hong Kong, bermula 14 Jun ini.
''Saya pasti pasukan ini sudah
bersedia memikul tugas pada pusingan kelayakan nanti. Saya juga amat yakin
dengan kemampuan anak-anak buah saya.
''Keputusan dalam kejohanan ini
seharusnya tidak dijadikan ukuran kerana objektifnya ialah mematangkan pemain
dan meningkatkan keyakinan mereka mengatasi tekanan demi tekanan,'' katanya
selepas perlawanan dengan Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin.
Skuad negara hanya mencatat
satu kemenangan dalam kejohanan ini, menang 2-0 ke atas Vietnam selepas seri
1-1 dengan Thailand dan tewas 2-5 kepada Indonesia untuk menamatkan aksi di
tempat ketiga daripada empat pasukan yang bertanding.
''Kejohanan ini memberi
kesempatan kepada saya untuk mencari kelemahan untuk diperbaiki dan saya rasa
beruntung dapat mengadakan perlawanan dengan tiga pasukan ini.
''Kita sebenarnya tidak bermain
dalam perlawanan yang kompetetif dalam waktu sebulan ini dan perlawanan dengan
pasukan-pasukan gagah dalam kejohanan ini memberi kebaikan kepada kita.
''Semua pemain telah memberikan
persembahan terbaik masing- masing tetapi terus terang saya katakan, kita tidak
dapat mempamerkan aksi terbaik dalam ketiga-tiga perlawanan itu,'' ujar
jurulatih dari Tunisia itu.
Hatem merehatkan beberapa
pemain utama pada kejohanan ini, antaranya perancang tengah Tengku Hazman Raja
Hassan, Rosle Derus dan penyerang V. Saravanan.
Begitu pun, Hatem memuji anak
buahnya terutama pemain pertahanan, Shawal Johadi yang berjaya mengatasi
tekanan diejek penonton selain penyerang Akmal Rizal Rakhli yang tidak
putus-putus berusaha mencari gol.
''Semangat seperti inilah yang
harus ada pada semua pemain. Tekanan sememangnya kerap hadir semasa kita
beraksi,'' katanya.
Bagaimanapun Hatem mengakui
pasukannya masih kurang daripada banyak aspek terutama bahagian pertahanan yang
begitu rapuh.
''Sudah tentu ia harus
diperbaiki dan kita masih ada masa untuk memperbaikinya,'' tambahnya.
Malaysia diletakkan dalam
Kumpulan Enam Zon Asia bersama-sama pasukan pilihan Jepun, Hong Kong, Nepal dan
Filipina. Pusingan pertama akan dilangsungkan di Hong Kong dan Jepun akan
menganjurkan pusingan kedua.
Skuad negara mengadakan
perlawanan persahabatan di China bulan depan sebagai persiapan terakhir sebelum
berlepas ke Hong Kong.
SUMBER-ARKIB UM: 02/05/1999
Tiada ulasan:
Catat Ulasan