ARKIB : 01/05/1999
Aksi hambar Olimpik
PEMAIN Olimpik 2000, Akmal
Rizal Ahmad Rakhli (kiri) membawa bola sambil cuba dihalang pemain Vietnam,
Nguyen Quoc Trung (terjatuh) pada perlawanan Bola Sepak Empat Penjuru di
Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam. Olimpik 2000 menang 2-0. - Gambar AHMAD
ZAKKI JILAN.
SKUAD Olimpik 2000 mempamerkan
aksi hambar biarpun menang 2-0 ke atas Vietnam pada perlawanan terakhir
Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.
Skuad negara yang beraksi
menentang Vietnam yang bermain sepuluh orang hampir sepanjang babak kedua,
gagal menghasilkan sebarang gol pada babak pertama.
Anak buah Hatem Souissi itu
hanya berjaya memecah kebuntuan pada babak kedua selepas pemain Vietnam, Le Anh
Dung dibuang padang minit ke-56.
Penyerang negara, Khalid Jamlus
menyumbat gol pembukaan pada minit ke-60, gol ketiganya dalam kejohanan ini
manakala pemain pertahanan, M. Gopalan menjadikan kedudukan 2-0 menerusi
tendangan penalti minit ke-81.
Olimpik 2000 yang berusaha
mengelak daripada menghuni tangga tercorot kejohanan ini masih menghadapi
masalah barisan depan walaupun bahagian pertahanan agak kukuh.
Hatem kali ini menurunkan
Yuzaiman Zahari di benteng pertahanan mengisi posisi Nik Ahmad Fadli Nik Leh
yang tidak diturunkan.
Begitu pun, skuad negara gagal
mengajak Vietnam mengikut rentak sebaliknya ''Tentera Ma'' lebih agresif tetapi
barisan pertahanan Olimpik berjaya menyekat setiap serangan.
Sebaliknya, barisan depan
Olimpik masih gagal memecah kebuntuan dengan gandingan penyerang, Akmal Rizal
Rakhli dan Khalid Jamlus sukar menemui sasaran.
Tidak banyak percubaan
berbahaya dilakukan kedua-dua pasukan pada sepanjang babak pertama kecuali satu
tendangan kencang Akmal di depan gawang pada minit ke-33 yang ditepis keluar
penjaga gol Vietnam, Nguyen Vu Dung.
Skuad negara berusaha memburu
jaringan dan menguasai babak kedua dengan melancarkan serangan tetapi masih
gagal menemui sasaran.
Begitu pun, kepincangan Vietnam
yang terpaksa bermain sepuluh orang selepas pemain pertahanannya, Anh Dung
dibuang padang kerana mengasari Khalid, mengubah sedikit permainan.
Kesempatan itu digunakan
sepenuhnya oleh skuad negara untuk membuka jaringan empat minit selepas itu
hasil tandukan Khalid yang menyambar sepakan sudut Chow Chee Weng.
Pada minit ke-80, Jaafar Salleh
yang di bawa masuk menggantikan Yuzaiman yang tercedera, melarikan bola secara
solo dan mengumpan cantik kepada Chee Weng yang tidak dikawal tetapi penyerang
itu dijatuhkan Vu Dung dalam kotak penalti.
Pengadil perlawanan, Surdi
Ismail dari Singapura menghadiahkan sepakan penalti yang berjaya disempurnakan
Gopalan.
Oleh: JOHARI SHAWAL
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0501&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RfPZvXeS
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan