Sabtu, 3 Disember 2016

Arsenal lebih gagah


 

ARKIB : 20/05/1999
PENYERANG Arsenal, Nwankwo Kanu (No 25) berjaya melepasi kawalan tiga pemain pertahanan Malaysia pada perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam. Arsenal menang 2-0. - Gambar ASWAD YAHYA.

MALAYSIA mempamerkan aksi meyakinkan apabila berjaya mengekang Arsenal pada babak pertama namun naib juara Liga Perdana England itu terlalu gagah apabila mudah mencari gol pada babak kedua untuk kemenangan 2-0 pada bola sepak persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Di hadapan hampir 60,000 penonton, Arsenal mempamerkan skil, teknik dan taktik yang tinggi tetapi hanya berjaya memecah kebuntuan menghasilkan gol pada babak kedua.

Dua jaringan skuad Gunners oleh bintang Perancis, Nicolas Anelka pada minit ke-54 dan Emmanuel Petit minit ke-67.

Malaysia melakukan sepak mula tetapi penguasaan bahagian tengah Arsenal menjadikan perlawanan tertumpu dengan serangan-serangan menarik kelab London itu.

Hantaran dan umpanan bola dari Petit dan Patrick Vieira sentiasa mengancam bahagian pertahanan skuad negara yang mana rangkaian tiga penyerang Marc Overmars, Nwankwo Kanu dan Anelka sedia menanti.

Tujuh percubaan dari Arsenal dan empat Malaysia. Itulah persembahan babak pertama tetapi skuad negara lebih dulu hampir membuka jaringan menerusi serangan mengejut pada minit kedua.

Zami Mohd. Nor yang berjaya mencari ruang kosong di luar kotak penalti melepaskan tendangan rendah kaki kiri menuju ke gawang Arsenal namun David Seaman melayangkan badan mendepa untuk menguis keluar.

Arsenal bagai terkejut tetapi tenang menyusun serangan bermula dari Overmars empat minit selepas itu tetapi pemain itu dijatuhkan untuk sepakan percuma.

Bintang Belanda itu mengambil sendiri sepakan dengan melencongkan ke gawang Malaysia tetapi tepat ke dakapan penjaga gol Azmin Azram Aziz.

Tiga minit selepas itu, Overmars melepasi sebelah kiri dan mengumpan ke tengah namun Anelka menendang sipi dari tiang gol.

Skuad negara membalas dua minit kemudian menerusi tendangan kencang Azman Adnan yang ditampan Seaman tetapi penyerang Pulau Pinang itu lebih dulu berada pada posisi ofsaid.

Azmin sekali lagi berjaya menafikan percubaan Anelka pada minit ke-17 apabila menguis keluar tendangan rendah pemain dari Perancis itu.

Anelka yang dikawal ketat Moey Kok Hong mempunyai peluang terbaik untuk membuka jaringan pada minit ke-33 apabila berjaya meloloskan diri dan merembat kencang tetapi Azmin sekali lagi bertindak cemerlang.

Azman yang begitu sukar melepasi benteng Arsenal terutama Tony Adams tiba-tiba mengejutkan barisan pertahanan lawan apabila berjaya melepasi perangkap ofsaid pada minit ke-36 tetapi rembatan kaki kirinya tersasar jauh.

Petit yang mempamerkan aksi bermutu di bahagian tengah, membuat satu percubaan ke gawang tetapi terkeluar sipi dari bucu tiang gol.

Arsenal menukar empat pemain sekali gus pada babak kedua yang serta merta mengubah kedudukan. Selepas sembilan minit bermula, Petit merampas bola dari kaki Wan Loon dan melencongkan cantik kepada Anelka sebelum merembat masuk menewaskan Azmin.

Petit mempamerkan skil terbaik dengan percubaannya dari luar kotak penalti pada minit ke-67 menuju masuk ke gawang skuad negara buat kali kedua.

Tidak banyak serangan dilakukan skuad negara pada babak kedua biarpun Adams dan Seaman digantikan dengan serangan Malaysia mudah dipatahkan pertahanan lawan.

Begitu pun, Azman masih berupaya menguji penjaga gol gantian Arsenal, John Lukic apabila membuat rembatan dari jarak 20 meter yang memaksa Lukic melayangkan badan menepis keluar.

Oleh: JOHARI SHAWAL dan ABDUL HAFIZ AHMAD

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0520&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RlNVUXQs © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan