Sabtu, 3 Disember 2016

Rahman gembira sudah dapat pemain yang dicari

ARKIB : 20/05/1999
Rahman gembira sudah dapat pemain yang dicari
JURULATIH kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim kini sudah menemui rangkaian pemain yang menepati ciri-ciri yang dikehendakinya selepas menyaksikan aksi Malaysia menentang Arsenal, semalam.

Kata Rahman, potensi pasukan kebangsaan yang mantap terpapar pada barisan yang diketuai oleh B. Rajinikandh biarpun ternyata mempunyai banyak kekurangan berbanding naib juara Liga Perdana England itu.

Menurut bekas jurulatih Terengganu itu, cuma yang perlu ditampung kini ialah mendapatkan seorang pemain pertahanan terakhir yang pantas, pemain tengah dan penyerang berkaliber.

''Perlawanan tadi memberikan kita banyak pengalaman berguna walaupun corak moden milik Arsenal nyata memberikan mereka kelebihan.

''Apabila Arsenal bermain begitu, pergerakan pemain kita mula sempit dan laluan untuk mara turut sukar,'' kata Rahman pada sidang akhbar selepas perlawanan.

Penyerang Azman Adnan dan tulang belakang negara, M. Elangoo merupakan antara nama yang memikat perhatian Rahman biarpun diketepikan daripada aksi antarabangsa buat sekian lama.

''Ini suatu kerugian kepada mereka berdua apabila tidak didedahkan kepada aksi antarabangsa. Namun jika barisan ini diberi peluang menempuh lima hingga 10 perlawanan antarabangsa, bola sepak kita mampu meningkat,'' tambahnya.

Sementara itu para peminat pasukan Arsenal tidak melepaskan peluang menatap dengan lebih dekat lagi wajah bintang-bintang bola sepak yang pujaan mereka dalam satu sesi perjumpaan dengan peminat di Hotel Sunway Lagoon Resort di Petaling Jaya, semalam.

Beberapa peminat yang ditemui berkata, kehadiran pasukan elit dari England itu memberi peluang kepada mereka bertemu pemain yang menjadi pujaan untuk 'sekali seumur hidup.'

Selain berpeluang melihat aksi ketika menentang Malaysia, para peminat dapat bersua muka serta mendapatkan tandatangan pemain bintang Piala Dunia Perancis, Emmanuel Petit, Patrick Viera, Marc Overmars, Nicolas Anelka serta beberapa pemain lainnya.

Pasangan adik-beradik dari Kuala Lumpur, Tan Heang Shin, 23, dan kakaknya Jennifer Tan, 26, berkata, mereka gembira kerana dapat berjumpa barisan pemain Arsenal namun sedikit terkilan kerana bintang kegemaran mereka, Dennis Bergkamp tidak dapat bersama.

Peminat celik pasukan Gunners Mohd. Shafiz Hatta, 13, berkata dia amat meminati skil individu setiap pemain Arsenal.

Menurut Mohd. Shafiz, dia meminati pemain Mark Overmars kerana cara permainannya yang cepat dan tangkas.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0520&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4RlOeblil © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan