ARKIB : 20/05/1999
KEKEBALAN benteng Malaysia yang
dikepalai oleh B. Rajinikandh meraih pujian tinggi pengurus pasukan Arsenal,
Arsene Wenger sekalipun skuad negara akhirnya menyerah 0-2 pada perlawanan bola
sepak persahabatan di Stadium Nasional, Kuala Lumpur, semalam.
Ternyata Wenger sendiri kagum
dengan tentangan habis-habisan anak buah Abdul Rahman Ibrahim terutama kekangan
utuh yang menyekat skuad Gunners beroleh sebarang gol dalam babak pertama.
''Sasaran kami ialah untuk
menang dan ini berjaya dicapai. Kami bermain dengan suasana yang menakjubkan di
hadapan jumlah penonton yang besar.
''Namun Malaysia dengan
sokongan penonton sendiri masih mampu menidakkan banyak peluang kami dengan
penampilan mutu teknikal yang cukup bagus,'' kata Wenger pada sidang akhbar
selepas perlawanan.
Nama lain yang turut menonjol
di hati Wenger termasuklah penjaga gol Azmin Azram Aziz yang sempat
menghampakan sekurang-kurangnya lima cubaan berbahaya Arsenal.
Statistik perlawanan semalam
turut menguatkan kenyataan Wenger itu apabila secara keseluruhannya, Arsenal
beroleh hampir sembilan cubaan ke gawang Malaysia.
Sayangnya, barisan serangan
naib juara Liga Perdana England itu cuma dibenarkan menepati sasaran sebanyak
dua kali, kedua-duanya dalam babak kedua.
Bagaimanapun pengurus kelahiran
Perancis itu tidak menyembunyikan unsur kelemahan yang masih ketara pada pemain
dari kalangan pasukan Asia tanpa merujuk secara khusus kepada Malaysia.
''Pemain Asia memang kekurangan
dari segi fizikal. Tapi anda boleh membaikinya dengan meninggikan stamina,
kepantasan dan teknik. Kiranya unsur ini bergabung, ia mampu mengancam pasukan
handalan dunia,'' kata Wenger.
Wenger juga menyentuh soal
kemampuan barisan penyerang Malaysia yang tampak kurang yakin memanfaatkan
peluang di hadapan gawang.
''Malaysia ada kualiti tetapi
kurang taktik penyudah yang berkesan. Itulah yang mencipta jurang perbezaan
apabila bermain di peringkat tertinggi seperti malam ini (semalam),'' katanya
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0520&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4RlPp754U
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan