Sabtu, 3 Disember 2016

Skuad baru mampu julang semula maruah negara

ARKIB : 25/05/1999
KOMITMEN yang dipamerkan oleh barisan pemain skuad negara pada perlawanan persahabatan menentang kelab terkemuka Liga Perdana England, Arsenal baru-baru ini menjanjikan masa depan yang cerah untuk mengembalikan reputasi dan imej bola sepak negara di peringkat antarabangsa, lapor DAUD GHANI.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyifatkan skuad negara yang baru itu mampu menjulang semula nama negara di persada antarabangsa.

''Secara menyeluruh saya berpuas hati dengan sikap positif yang dipamerkan oleh kesemua pemain. Memang mereka tidak mampu mengalahkan Arsenal, sebuah kelab bertaraf dunia.

''Bagaimanapun mereka (para pemain) telah memberikan komitmen seratus peratus. Saya harap sikap positif ini akan berterusan pada masa akan datang,'' ujarnya pada majlis penyampaian program mempelajari bahasa Perancis oleh Linguaphone kepada pemain remaja, Titus James Palani yang ditawarkan menyertai Sekolah Bola Sepak di Le Havre, Perancis di Kuala Lumpur, semalam.

''Setiap pemain yang dipilih mewakili negara harus berbangga kerana terpilih. Mereka juga harus mendisiplinkan diri dalam segala aspek.

''Setiap bentuk kelemahan dalam permainan harus diperbaiki. Jurulatih hanya setakat memberi tunjuk ajar dari aspek permainan.

''Jika mereka mahu mencipta kejayaan, ia harus memastikan disiplin diri perlu seiring dengan aspek kemahiran,'' ujarnya lagi.

Tengku Abdullah juga memberitahu skuad baru itu mempunyai masa depan yang cerah jika mereka memperbaiki segala kelemahan.

''Bukan mudah untuk kembali membentuk sebuah pasukan yang mantap dalam tempoh yang singkat. Bagaimanapun saya yakin para pemain yang ada ini mampu melakukannya jika mereka terus memberikan komitmen seratus peratus baik ketika latihan mahupun semasa pertandingan,'' tambahnya.

Sukan SEA Brunei akan menjadi titik tolak skuad negara mengembalikan imej bola sepak negara di peringkat antarabangsa.

Semua peminat tahu sudah begitu lama skuad negara gagal meraih sebarang pingat dalam temasya Sukan SEA dan kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas ialah sewaktu Kuala Lumpur menjadi tuan rumah temasya itu pada 1989.

Laluan Malaysia di Brunei tidak mudah apabila diletakkan dalam Kumpulan B yang turut disertai oleh Indonesia, Singapura selain tuan rumah, Brunei. Sukan SEA Brunei akan berlangsung pada 30 Julai hingga 14 Ogos.

''Peluang untuk skuad negara mempamerkan prestasi skuad negara kini sudah meningkat.

''Para pemain juga tidak tertekan kerana kita turun sebagai pasukan bukan pilihan memandangkan Brunei sebagai tuan rumah sudah pasti menjadi salah satu pasukan pilihan selain Indonesia dan Singapura berdasarkan prestasi semasa,'' ujarnya.

Mengenai peluang skuad muda negara yang akan menyertai perlawanan kelayakan Olimpik bagi Kumpulan 6 Zon Asia di Hong Kong dan Jepun (12 Jun-4 Julai), Tengku Abdullah tidak begitu mengharapkan kejayaan.

''Yang penting skuad negara mempamerkan semangat juang yang tinggi. Memang saya ingin skuad negara mencatat kejayaan tetapi sudah tentu skuad Jepun yang dianggap antara yang terbaik di Asia menjadi pasukan pilihan.

''Siapapun tidak suka kegagalan tetapi jangan pula begitu mudah menyerah. Kita harus yakin mampu mengalahkan pasukan seperti Hong Kong, Filipina dan Nepal,'' ujarnya.

Hong Kong akan menjadi tuan rumah untuk pusingan pertama pada 12 hingga 20 Jun dan Jepun pula akan menjadi tuan rumah pusingan kedua pada 26 Jun hingga 4 Julai.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0525&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RmFY8LJM © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan