ARKIB : 21/05/1999
Belajar dari Arsenal
TENGKU Abdullah Sultan Ahmad
Shah menyatakan sesuatu kepada pengurus Arsenal, Arsene Wenger selepas
perlawanan bola sepak persahabatan antara Malaysia dengan kelab Inggeris itu di
Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam. Arsenal menang 2-0.
ILMU sesingkat 90 minit yang
dicurahkan Arsenal kelmarin harus diumpama permata berharga yang perlu terus
digilap oleh skuad negara jika mahu martabat bola sepak Malaysia kembali
melonjak.
Sekalipun tewas 2-0, Malaysia
seharusnya berterima kasih kepada kelab ternama dalam Liga Perdana England itu
kerana telah menyerlahkan segala kepincangan dari segi taktikal, teknikal dan
kematangan pemain negara.
Kekayaan tiga elemen itu yang
dipamerkan naib juara Liga England itu kelmarin sekali gus sebagai isyarat
bahawa Malaysia sememangnya memerlukan lebih banyak perlawanan di peringkat
seumpama ini jika mahu membina sebuah pasukan sehebat mereka.
Memang benar Arsenal tidak
mempamerkan aksi seratus peratus mereka dan masih memberi ruang buat pasukan
negara melakukan percubaan-percubaan tetapi Malaysia sebenarnya masih gagal
menyaingi mereka.
Begitu pun, jurulatih negara
Abdul Rahman Ibrahim semestinya amat berbangga dengan kemampuan dan kesungguhan
yang dipamerkan anak buahnya semasa perlawanan itu.
Beliau juga pasti sudah dapat menilai
setakat mana kemampuan setiap anak didiknya selepas perlawanan itu.
Namun, menilai aksi mereka di
Stadium Nasional, Bukit Jalil itu membuktikan segenap posisi - pertahanan,
tengah dan serangan - belum cukup matang dan memerlukan masa untuk bimbingan
berterusan.
Penyerang kembar Azman Adnan
dan Zami Mohd. Nor harus dipuji apabila sempat menguji David Seaman beberapa
kali yang membuktikan negara sebenarnya tidak kekurangan penyerang berbakat.
Bagaimanapun, kurangnya
sokongan rakan dari bahagian tengah untuk mengilham gerakan selain kawalan
ketat pertahanan lawan menyaksikan ruang aksi Azman dan Zami sentiasa terbatas.
Yap Wai Loon mendapat pujian
bos Arsenal, Arsene Wenger tetapi pemain tengah Sabah itu bersama Ahmad
Shahruddin Rosdi tampak kurang idea untuk menjana nadi serangan.
Keputusan perlawanan itu
sebenarnya tidak memeranjatkan kerana Arsenal bukanlah tandingan Malaysia
tetapi mungkin kejutan bagi kita kerana skuad negara berjaya menyekat kelab
Highbury itu daripada berpesta gol seperti yang dijangkakan sebelum ini.
Pertahanan negara yang
membariskan V. Thinagaran, Moey Kok Hong, Abdul Ghani Malek dan M. Elangoo
serta B. Rajinikandh boleh diberi markah tinggi malah Wenger sendiri turut
kagum dengan kemampuan mereka.
Cuma kurangnya kepantasan dan
ketahanan fizikal selain pengalaman cetek terserlah sebagai antara elemen
kelemahan mereka.
Mungkin Rahman mempunyai alasan
skuad itu baru dibentuk dan menghadapi pasukan yang dibarisi pemain bertaraf
dunia seperti Emmanuel Petit, Nicolas Anelka (Perancis), Marc Overmars
(Belanda), Nwankwo Kanu (Nigeria), Tony Adams dan David Seaman (England).
Begitu pun, skuad negara masih
punya harapan untuk kembali mengubat luka lama Sukan SEA 1997 dan tangga ke-116
Malaysia dalam senarai Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) adalah satu
cabaran bagi mereka.
Justeru, limpahan pendedahan di
peringkat antarabangsa menjadi kemestian untuk mengubah nasib dan kedudukan
bola sepak negara ke tahap yang lebih terhormat.
Tanggal 1 dan 3 Julai ini, New
Zealand bakal menjadi guru Malaysia berikutnya selain tiga perlawanan di
Uzbekistan menyusul pada 7-14 Julai menjadi bekalan sebelum menebus maruah yang
tercalar dalam tugasan sebenar - Sukan SEA XX Brunei, Ogos ini.
Oleh: JOHARI SHAWAL
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0521&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RlgtoF6t
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan