ARKIB : 29/05/1999
SKUAD bola sepak negara yang
diberi peluang beraksi pada Sukan SEA XX di Brunei, Ogos ini diingatkan agar
tidak memperkecilkan kekuatan pasukan lain yang menyertai temasya dwitahunan
itu.
Peringatan itu diberikan oleh
Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu skuad kebangsaan
itu menggunakan peluang yang diberi untuk menebus kekalahan memalukan ketika
tewas kepada pasukan bukan pilihan, Laos pada Sukan SEA di Jakarta dua tahun
lepas.
''Inilah peluang skuad
kebangsaan memperbetulkan pandangan negatif terhadap prestasi dan kemampuan
mereka. ''Pasukan negara perlu menunjukkan prestasi yang diharapkan setelah
mereka mendapat kepercayaan jawatankuasa pemilihan Majlis Olimpik Malaysia
(MOM) untuk beraksi pada Sukan SEA nanti,'' katanya di Kuala Lumpur, semalam.
Rabu lalu, MOM melalui
jawatankuasa pemilihannya memutuskan skuad bola sepak kebangsaan dibenarkan
beraksi pada Sukan SEA Brunei.
Presiden MOM, Tunku Imran
Tuanku Ja'afar ketika memaklumkan perkara itu berkata, majlis tersebut
berpendapat bola sepak perlu lebih banyak pendedahan sebelum menghadapi Piala
Asia di Lebanon, tahun depan.
Keputusan itu juga dibuat
berdasarkan kesungguhan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyusun semula
program perlawanan sebagai persediaan disamping undian yang menyaksikan
Malaysia diletakkan dalam kumpulan B bersama-sama Indonesia, Singapura, dan
Brunei yang pernah ditemuinya disamping Kemboja yang turut tersenarai.
Kumpulan A pula menyaksikan
pertemuan antara Thailand, Vietnam, Laos, Filipina dan Myanmar.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0529&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4RmYXnUol
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan