Sabtu, 3 Disember 2016

Jepun ranapkan peluang Malaysia kekal gelaran

ARKIB : 30/05/1999
SKUAD Projek 2004 Malaysia gagal mempertahankan gelaran juara bola sepak bawah 14 Piala Perdana Antarabangsa Nike yang dimenangi tahun lalu apabila tewas 0-1 kepada Jepun pada separuh akhir di Stadium Institut Teknologi Mara (ITM), Shah Alam, semalam, lapor DALLIA DUNSTAN.

Sebaliknya kemenangan Jepun itu membawanya ke perlawanan akhir hari ini menentang Korea Selatan bagi penentuan juara.

Sebelum itu, Korea menewaskan Thailand 1-0 dalam satu lagi separuh akhir.

Malaysia yang terpukau dengan penguasaan Jepun, bagaimanapun masih mampu bertahan dengan kedudukan tanpa jaringan sehingga minit ke-53.

Penjaga gol, Mohd. Azari Mohd. Arus muncul wira Malaysia apabila mematahkan beberapa percubaan berbahaya.

Gol sulung Jepun dijaringkan oleh Naoya Tamura pada minit ke-53 selepas kesilapan barisan pertahanan Malaysia melakukan perangkap ofsaid sehingga memberi ruang kepada penyerang itu menghasilkan gol.

Jurulatih Malaysia, Aminuddin Hussin berkata, anak buahnya tidak dapat menumpukan perhatian dan keletihan kerana jadual perlawanan yang ketat.

''Bagaimanapun, para pemain telah memberikan aksi terbaik sepanjang kejohanan ini,'' katanya selepas perlawanan.

Mengenai peluang Malaysia pada perlawanan menentang Thailand dalam penentuan tempat ketiga, beliau berkata para pemain harus menang perlawanan berkenaan untuk layak ke pusingan akhir di Barcelona, Sepanyol.

''Mereka harus bermain bersungguh-sungguh dan menewaskan Thailand jika mahu ke Barcelona,'' kata Aminuddin.

Menurut jurulatih itu lagi, beliau tidak akan merombak barisan pemainnya untuk perlawanan hari ini.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0530&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4Rma9zlGZ © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan