Khamis, 1 Disember 2016

Nasib tidak menyebelahi kami - Safee

SABTU, 26 NOVEMBER 2016 @ 11:23 PM
Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor zulfaizan@bh.com.my

YANGON: Penyerang skuad kebangsaan, Safee Sali menegaskan betapa semua pemain sudah bermain mati-matian ketika Harimau Malaysia tewas 0-1 kepada Myanmar, sebentar tadi.

Kegagalan Harimau Malaysia meraih kemenangan pada perlawanan terakhir Kumpulan B itu menyaksikan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee gagal layak ke final Piala AFF Suzuki. Safee bagaimanapun menyifatkan kesilapan saat akhir menyebabkan mereka dihukum dengan jaringan lewat David Htan buat Myanmar.

 "Saya berbangga dengan rakan sepasukan yang sudah memberikan persembahan dan komitmen sepenuhnya pada perlawanan ini. "Bagi saya, kami sudah cuba yang terbaik tetapi nasib tidak menyebelahi pasukan. Pada pandangan saya, kami sudah ada skuad yang baik untuk kejohanan ini.

 "Kami bermula dengan baik sejak awal permainan, namun Myanmar mengambil kesempatan dari kesilapan yang kami lakukan pada saat akhir," katanya selepas perlawanan sebentar tadi.

Harimau Malaysia menamatkan saingan Kumpulan B pada kedudukan ketiga selepas hanya mengumpul tiga mata hasil satu kemenangan daripada tiga perlawanan. Kegagalan Harimau Malaysia ke separuh akhir Piala AFF Suzuki menyaksikan Kim Swee gagal satu daripada tiga Indeks Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mahu skuad itu layak ke final kejohanan terbabit.

Dua lagi KPI yang perlu dicapai Kim Swee termasuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2019 dan meletakkan Harimau Malaysia pada kedudukan ke-140  dalam ranking dunia. 

SKUAD Harimau Malaysia kecewa selepas tumpas 0-1 kepada Myanmar pada perlawanan terakhir Kumpulan B Piala AFF Suzuki 2016 di Stadium Thuwunna. - Foto Osman Adnan


Sumber-Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/217220

Tiada ulasan:

Catat Ulasan