Khamis, 1 Disember 2016

Kim Swee disaran bercuti selepas kegagalan Harimau Malaysia

AHAD, 27 NOVEMBER 2016 @ 7:04 PM
 
KIM Swee (berjaket) bersama pasukan Harimau Malaysia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas gagal pada peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki 2016 di Yangon, Myanmar. - Foto Fariz Iswadi Ismail KUALA LUMPUR:

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan menyarankan Datuk Ong Kim Swee mengambil cuti susulan kegagalan Harimau Malaysia layak ke separuh akhir kejuaraan Piala AFF Suzuki 2016 di Yangon. Bekas jurulatih skuad itu mengakui beliau pernah mengalami pengalaman pahit sebegitu sewaktu skuad bimbingannya kandas di peringkat kumpulan pada edisi 2008.

"Jadi perkara yang terbaik sekarang ini untuk Kim Swee ialah ambil cuti. Kritikan itu sentiasa ada dan kita juga tidak boleh elak dari menerimanya," katanya kepada pada Simposium Bola Sepak Kebangsaan bertajuk 'Transformasi Bola Sepak Malaysia' di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Sathianathan turut menyelar transformasi dan revolusi bola sepak negara yang dilihat gagal dalam menyediakan pemain berkualiti bermula dari akar umbi. "Cuma sekarang ini hanya satu sahaja harapan kita iaitu untuk menunggu hasil daripada Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

"Daripada pemerhatian saya, mereka menunjukkan prestasi yang amat berbeza dan tahu bila perlu membuat hantaran serta berinteraksi dengan penjaga gol," katanya. Dalam perkembangan lain, Sathianathan menegaskan agar siapa sahaja yang bakal menduduki kerusi panas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Mac depan sebagai presiden yang baharu diberikan masa yang secukupnya sebelum membuat sebarang penilaian.

Turut berkongsi pandangan yang sama ialah penganalisis sukan, Tan Sri Khoo Kay Kim yang berpendapat individu yang dilantik sebagai presiden ataupun jurulatih baharu skuad kebangsaan perlu diberikan tempoh sekurang-kurang dua tahun bagi membuktikan kemampuan masing-masing. Beliau berkata, sekiranya tamat tempoh dua tahun itu dan mereka masih gagal mencapai sasaran yang ditetapkan, mereka perlu bersedia untuk melepaskan jawatan dan memberi peluang kepada individu lain yang lebih layak.

 - BERNAMA PEMAIN Harimau Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas gagal pada peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki 2016 di Yangon, Myanmar. - Foto Fariz Iswadi Ismail


Sumber-Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/217466

Tiada ulasan:

Catat Ulasan