Khamis, 1 Disember 2016

Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru -- Thai uji Olimpik 2000 malam ini

ARKIB : 26/04/1999
SELEPAS semusim mengharungi kempen Liga Perdana selain beberapa siri perlawanan persahabatan dalam dan luar negara, Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru yang bermula hari ini merupakan ujian terakhir buat skuad Olimpik 2000 sebelum menyertai pusingan kelayakan, Jun ini.

Kejohanan yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil yang disertai pasukan Olimpik Thailand, Vietnam dan Indonesia itu, merupakan medan terakhir untuk menilai kemampuan sebenar skuad harapan negara ke Sukan Olimpik Sydney tahun depan yang dibimbing jurulatih dari Tunisia, Hatem Souissi.

Selepas kira-kira lima tahun dibentuk dengan pemain silih berganti dipanggil dan digugurkan daripada pasukan, skuad ini seharusnya mampu memberi impak cukup berkesan dalam kejohanan ini sebelum memulakan aksi dalam pusingan kelayakan yang bakal bermula 14 Jun ini di Hong Kong.

Begitu pun, Hatem awal-awal lagi menjelaskan bahawa kejohanan ini hanya sebagai penyambung persiapan mereka sebelum ke Hong Kong dan ia diadakan atas permintaan jurulatih itu sendiri.

''Kejohanan ini sebenarnya saya jadikan kesempatan untuk menilai sejauh mana kekuatan dan mengenal pasti sebanyak mana kelemahan kita.

''Pasukan lain dalam kejohanan ini gagah-gagah belaka dan saya fikir ia amat sesuai untuk membantu menyerlahkan kepincangan dan kekuatan pasukan ini,'' kata Hatem.

Hatem memilih Thailand, Vietnam dan Indonesia untuk kejohanan ini berdasarkan prestasi semakin menggalakkan yang ditunjukkan ketiga-tiga pasukan Olimpik negara itu.

''Kita masih ada kelemahan dan pemain kita sebenarnya belum cukup matang. Ini adalah kesempatan terbaik untuk memperbaiki dan mematangkan pemain sebelum pusingan kelayakan,'' katanya.

Pada pusingan kelayakan Asia di Hong Kong, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan Enam bersama-sama Jepun, Hong Kong, Nepal dan Filipina.

Begitu pun, Hatem mahu pun skuad Olimpik 2000 seharusnya usah lagi memberikan alasan-alasan kurang relevan jika mereka gagal mempamer aksi memberangsangkan dalam kejohanan empat negara ini.

Memandangkan pusingan kelayakan hanya berbaki kira-kira tujuh minggu, skuad ini harus sekurang-kurangnya menamatkan kejohanan antara dua pasukan terbaik.

Dengan barisan pemain yang sebahagian besarnya sudah bersama pasukan sejak Piala Dunia Belia dua tahun lalu, mereka seharusnya sudah benar-benar mantap dan bersedia, dan ia sebenarnya diakui Hatem walaupun jurulatih itu cuba menyembunyikan perasaan gusarnya.

Bagaimanapun katanya, untuk kejohanan ini, jurulatih itu terpaksa merehatkan beberapa pemain utama termasuk perancang tengah, Tengku Hazman Raja Hassan, Gilbert Cassedy Gawing, Faziallah Mamat dan penyerang V. Saravanan akibat kecederaan.

''Ini bukan bermakna mereka tidak ada tempat dalam pusingan kelayakan nanti... mereka adalah pemain utama saya,'' katanya.

Jurulatih itu memberitahu, Kejohanan Empat Penjuru ini turut memberi kesempatan kepadanya untuk memilih pemain kesebelasan utama untuk pusingan kelayakan nanti.

BARISAN 18 PEMAIN SKUAD OLIMPIK 2000
Penjaga gol: Megat Amir Faizal Ibrahim, Jamsari Sabian.

Pertahanan: Johnny Joseph, S. Jayaprakash, Abdul Rauf Ahmad, M. Gopalan, R. Nanthakumar, Nik Ahmad Fadli Nik Leh, Yuzaiman Zahari. Pemain tengah: Das Gregory Kolopis, Jaafar Md Saleh, Khairun Haled Masrom, Shawal Johadi, Rosle Derus.

Penyerang: Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Chow Chee Weng, Mohd. Rafdi Rashid, Khalid Jamlus.

JADUAL PERLAWANAN HARI INI
Indonesia lwn Vietnam (6.30 petang)
MALAYSIA lwn Thailand (8.45 mlm)
RABU
Vietnam lwn Thailand (6.30 petang)
Indonesia lwn MALAYSIA (8.45 mlm)
JUMAAT
Thailand lwn Indonesia (6.30 petang)
MALAYSIA lwn Vietnam (8.45 mlm)
(Semua perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil)
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0426&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4RfGf2KFu © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan