Isnin, 6 Mac 2017

Zami gugur

ARKIB : 20/07/2000
BEKAS ketua pasukan utama kebangsaan, Zami Mohd. Nor digugurkan daripada skuad yang akan menyertai Pestabola Merdeka, bulan depan kerana tidak cukup cergas, dan jurulatih Abd. Rahman Ibrahim memanggil V. Yogeswaran untuk memperkuatkan pertahanan kiri yang bermasalah.

Menurut Abd. Rahman, Zami tidak cukup cergas untuk turut memperkuatkan pasukan negara pada kejohanan itu yang akan turut disertai oleh dua pasukan Olimpik dari Afrika.

''Zami terpaksa digugurkan kerana dia tidak cukup cergas. Dia sudah beberapa kali diletakkan sebagai pemain simpanan Selangor termasuk pada perlawanan dengan Kuala Lumpur,'' katanya di Petaling Jaya, semalam.

Zami, penyerang Selangor dalam persaingan Perdana Satu sebelum ini mengetaui pasukan negara ke pusingan kelayakan Piala Asia pada April lepas.

Pada kejohanan itu, Zami mengalami kecederaan ketika menentang Korea Utara pada pusingan pertama di Shah Alam. Dia kemudian direhatkan pada perlawanan seterusnya sehingga pusingan kedua di Bangkok berakhir.

Selain pemain kelahiran Kelantan itu, turut digugurkan ialah seorang lagi pemain Perdana Satu Selangor, Lim Chan Yew yang mengalami kecederaan paha kanan, Shamsul Saad dan V. Saravanan.

Abd. Rahman sebaliknya memanggil pemain Perlis, Yogeswaran untuk memperkukuhkan bahagian pertahanan kiri skuadnya, menggantikan Mohd. Hairul Nizam Haniff yang tersenarai pula ke dalam skuad bawah 22 tahun negara.

''Yogeswaran akan bergandingan dengan Rosdi Talib... saya fikir kedua-duanya sudah cukup matang untuk mengemudikan posisi itu yang menjadi masalah kita sebelum ini,'' jelas beliau.

Muka baru yang turut menambat hati Abd. Rahman untuk diuji ialah penyerang Johor, S. Sutesh dan pemain Pulau Pinang, K. Suresh.

Pestabola Merdeka, kejohanan yang kembali semula selepas tiga tahun tidak diadakan, akan diadakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur dari 12 hingga 20 Ogos ini.

Selain skuad senior, Malaysia turut diwakili oleh skuad bawah 22 tahun. Turut memberi saingan ialah skuad Olimpik Cameroon, Olimpik Ghana, New Zealand dan Oman.

Jurulatih skuad remaja negara, Allan Harris berkata, beliau akan cuba membawa balik Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Juzaili Samion dari Perancis untuk menambah bisa pasukan dibahagian serangan.

''Saya akan cuba berbincang dengan pasukan Strasbourg FC dengan harapan mereka melepaskan kedua-dua pemain itu untuk kejohanan ini,'' jelas beliau.

Akmal dan Juzaili kini sedang menjalani latihan di Perancis dengan skuad terkenal negara itu, Strasbourg sejak penghujung tahun lepas.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0720&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4aYQzMHj2 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan