22 Mac 2017 12:41 AM
KUALA LUMPUR 21 Mac – Semua 39
perwakilan dan anggota gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu
meletakkan kepentingan sukan itu sebagai asas utama dan tidak terbawa-bawa
dengan kepentingan peribadi.
Hairuddin Omar
Presiden Persatuan Pemain Bola
Sepak Profesional (PFAM), Hairuddin Omar berkata hala tuju bola sepak negara
kini bergantung kepada pengundian yang dibuat dalam Kongres FAM ke-53 Sabtu
ini.
Menurutnya, pengundian bagi
memilih Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2017-2021 itu tidak boleh
bersikap berat sebelah, sebaliknya mereka adalah suara yang mewakili penyokong
sukan itu yang mahukan perubahan secara menyeluruh.
“Minggu ini adalah penting untuk
bola sepak negara dalam menentukan siapa barisan kepemimpinan baharu FAM. Saya
menyeru kepada semua perwakilan supaya memilih secara matang dan tidak
terbawa-bawa dengan kepentingan peribadi.
“Saya harap semua perwakilan
dapat mengenal pasti calon terbaik untuk mengetuai FAM dan saya yakin
perwakilan kali ini lebih memahami kehendak bola sepak negara,” katanya kepada
pemberita baru-baru ini.
Hairuddin berkata selaku bekas
pemain, beliau tidak mahu isu tunggakan gaji pemain berulang dan mahu barisan
kepemimpinan baharu FAM memandang serius pembangunan bola sepak negara dan
prestasi skuad Harimau Malaysia.
Katanya kepemimpinan baharu itu
nanti akan berdepan cabaran yang lebih hebat bagi menaikkan semula imej bola
sepak negara kerana penyokong sudah muak dengan isu yang sama.
“Kalau kita mahu majukan bola
sepak dengan lebih serius, arena bola sepak harus berubah secara keseluruhan,
terutamanya dari segi liga dan pembangunan pemain muda.
“Semua penyokong bola sepak mahu
perubahan, saya harap kita dapat melihat transformasi besar berlaku dalam bola
sepak Malaysia selepas ini,” katanya.
Mengulas calon Presiden FAM yang
lebih layak menerajui badan induk itu, Hairuddin berkata kedua-dua calon iaitu
Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Tan Sri Annuar Musa
mempunyai visi dan misi yang menarik. – BERNAMA
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/pilih-demi-bola-sepak-8211-hairuddin-1.460161#ixzz4c0Vu2Vvy©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan