Khamis, 23 Mac 2017

Malaysia yakin ke UAE



ARKIB : 15/05/2002
SETELAH meraih dua kemenangan Malaysia kini lebih yakin untuk memberi saingan hebat kepada Jepun bagi merebut satu tiket ke pusingan akhir Kejohanan Bola Sepak AFC bawah 17 di Amiriah Arab Bersatu (UAE) Oktober ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Dell Akbar Khan berkata, berdasarkan prestasi pemain remaja negara, Malaysia mempunyai peluang yang sama dengan Jepun untuk menang.

``Jepun memang pasukan pilihan tetapi kita juga mempunyai peluang yang sama dengan mereka untuk menang.

``Rentak dan daya tumpuan dalam permainan yang akan tentukan kemenangan atau kekalahan pasukan dalam pertemuan terakhir ini (hari ini),'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Stadium Selayang selepas menyaksikan pasukan remaja negara menang 9-0 ke atas Brunei pada perlawanan kedua, kelmarin.

Kemenangan itu merupakan yang kedua setelah mereka juga menang besar, 7-0 ke atas Macau, Sabtu lepas.

Menurut Dell, disiplin tinggi pemain merupakan kekuatan pasukan Jepun yang mengamalkan permainan mengikut kehendak dan arahan jurulatih.

``Jika dibandingkan dengan Jepun, pemain kita lebih kreatif di atas padang. Jepun menggunakan permainan yang telah ditetapkan kepada mereka oleh jurulatih.

``Jadi tugas pemain kita sekarang adalah untuk mengganggu corak itu bagi mengkucar-kacirkan permainan pasukan Jepun,'' katanya.

Jepun turut meraih kemenangan besar dalam dua perlawanan pertama, menewaskan Brunei 11-0 dan Macau 9-0.

Pasukan itu juga hanya mempunyai dua atau tiga pemain yang tinggi tetapi masih kurang mantap dan boleh diatasi.

``Ketinggian pemain Jepun bukan masalah kerana mereka juga lebih kurang pemain kita kecuali beberapa pemain. Kini keinginan kuat sesuatu pasukan akan menjadi faktor yang menentukan kejayaan mereka.

``Pemain perlu memperbaiki atau sekurang-kurangnya mengekalkan corak permainan yang telah ditunjukkan pada perlawanan terakhir ini,'' jelasnya

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0515&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4cA5oO3nQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan