Ahad, 19 Mac 2017

Bola sepak tunjuk taring

ARKIB : 26/12/2001
KEGAWATAN ekonomi yang berterusan masih merupakan musuh utama kepada bola sepak tempatan yang bagaimanapun masih berupaya memulihkan sedikit martabatnya di peringkat serantau.

Beberapa persatuan bola sepak negeri masih dihantui isu lapuk - gagal membayar gaji pemain pada masa yang dijanjikan seperti yang berlaku ke atas Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa).

Di peringkat antarabangsa pula, skuad negara terus mencatat kegagalan apabila gagal ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia.

Dalam tugasan pertama yang ditempuh oleh jurulatih Allan Harris itu, skuad negara hanya menduduki tempat ketiga di belakang Qatar dan Palestin serta di depan Hong Kong dalam kempen kumpulan tiga Asia di Hong Kong dan Doha Mac lepas.

Riuh seantero negara dengan kekalahan Malaysia kepada Palestin di Hong Kong dan kemudian ke atas Hong Kong di Doha.

Sebelum pusingan kelayakan itu lagi skuad negara sudah dilanda ribut apabila tiga pemainnya, Kamaruzaman Hassan, Azmin Azram Aziz dan Khalid Jamlus disingkirkan setelah didapati berpeleseran selepas masa yang telah ditetapkan oleh jurulatih ketika di dalam latihan pusat.

Jun lalu menyaksikan Pestabola Merdeka kembali dengan semangat baru dan lebih meriah apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membawa Bahrain, Thailand, Uzbekistan, Bosnia-Herzegovina, Slovakia dan India mengambil bahagian.

Di sinilah bermulanya era peminat tempatan mula mempercayai kemampuan skuad bawah 23 tahun negara yang menunjukkan persembahan menarik dan bersemangat tinggi walau pun tidak beraksi dalam perlawanan akhir.

Sokongan yang meluap-luap daripada kalangan peminat tempatan berterusan apabila skuad bawah 23 negara beraksi dalam Sukan SEA di mana skuad negara memperoleh pingat perak. Ia adalah pingat pertama negara dalam temasya itu selepas 10 tahun tidak menjejak kaki ke perlawanan akhir.

Tetapi, sebelum itu, pemain-pemain kita telah ditunjukkan di mana taraf sebenar mereka apabila kalah 6-0 kepada Manchester United di Stadium Nasional Bukit Jalil Julai lepas.

Selain isu Kamarulzaman, Azmin dan Khalid, timbul pula isu lima pemain Sarawak ditahan oleh pihak polis kerana disyaki mengambil dadah Julai lepas.

Namun, penghujung yang baik kepada Terengganu apabila muncul juara Piala Malaysia walau pun pada awal musim dilanda masalah kewangan. Penyu juga muncul naib juara Perdana Satu kepada Pulau Pinang.

Bagaimanapun, maut yang menjemput dua penyokong Terengganu dalam kemalangan sebelum sempat mereka menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia merupakan peristiwa sedih yang turut mewarnakan bola sepak tempatan.

Bermula tahun depan, bola sepak tempatan akan berwajah baru setelah pintu dibuka semula kepada pemain asing dengan harapan memnacing peminat ke stadium.

Ia adalah satu perkembangan yang bagus selepas khidmat pemain luar ditamatkan pada 1998. Tetapi, meletakkan pasukan kebangsaan di tempat yang lebih baik dari kedudukan sekarang adalah formula terbaik untuk memastikan stadium tidak sunyi.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4bq5bV0wu

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan