Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
Sepang: Jurulatih Harimau
Malaysia Datuk Ong Kim Swee (gambar) yakin anak buahnya sudah cukup bersedia
untuk berdepan Filipina dalam aksi persahabatan antarabangsa esok meskipun akan
bermain di atas padang rumput tiruan Stadium Memorial Rizal, Manila.
Pengendali berusia 46 tahun itu
berkata, mereka sudah membuat persediaan rapi termasuk mengadakan latihan di
padang rumput tiruan di Stadium Panasonic, Shah Alam untuk menyesuaikan diri
dengan perlawanan sebenar.
“Kami sudah empat hari mengadakan
latihan di padang rumput tiruan jadi saya menjangkakan pemain tak ada masalah
apabila bermain menentang Filipina nanti.
“Cuma tempoh dua hari sebelum
perlawanan ini akan kami gunakan sebaik-baiknya untuk memperkemaskan permainan
kerana Filipina bukan lawan mudah,” katanya kepada Arena Metro sebelum berlepas
ke Manila semalam.
Aksi menentang Filipina ini yang
ketiga bagi Kim Swee selepas menyaksikan anak buahnya diikat dua kali dengan
keputusan 0-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa ketika menggalas tugas
sebagai pengendali sementara pada 2014.
Namun, selepas lebih dua tahun,
situasi dilihat berbeza dengan Filipina semakin meningkat dengan kehadiran
beberapa pemain berpangkalan di luar negara apabila kini menduduki ranking
ke-124 dunia berbanding Malaysia, 161.
Menurut Kim Swee, tugas sukar
buat anak buahnya untuk mengatasi Filipina kendalian Thomas Dooley yang sudah
lama membimbing skuad Azkals itu.
“Filipina kini menduduki ranking
lebih baik kerana bermain banyak perlawanan antarabangsa. Mereka juga mempunyai
jurulatih yang sudah lama bersama pasukan serta pemain konsisten.
“Walaupun mereka tak layak ke
separuh akhir Piala AFF tahun lalu, mereka hanya tewas sekali kepada Thailand,”
jelasnya.
Ketika ditanya mengenai barisan
terbaik yang bakal diturunkan nanti, bekas jurulatih Harimau Muda itu berkata,
semua akan diputuskan sebelum perlawanan.
“Ada dua, tiga perkara yang perlu
saya nilai dan perbaiki dalam pasukan. Kami akan mengadakan satu, dua sesi
latihan lagi jadi saya masih mempunyai masa untuk memilih pemain kesebelasan
utama,” katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Selasa, 21 Mac 2017 @ 10:28 AM
ARKIB : 03/04/2002
Sabah sempitkan peluang Selangor
PENYERANG Sabah, Josiah Seton
(jersi merah) menewaskan pertahanan dan penjaga gol Selangor untuk menjaringkan
gol penyamaan pada perlawanan di Stadium Penampang, Kota Kinabalu, semalam.
Perlawanan berkesudahan seri 1-1. - Gambar Zulkarnain Mohd Saidin.
SABAH menyempitkan peluang
Selangor untuk bersaing merebut kejuaraan pusingan pertama bola sepak Liga
Perdana Satu apabila memaksa keputusan seri 1-1 dalam aksi di Stadium
Penampang, Kota Kinabalu, semalam.
Meskipun Selangor lebih awal
memecah kebuntuan menerusi jaringan Mohd. Fareed Shah Hassan pada minit ke-29,
kegembiraan Merah Kuning terhenti dua minit kemudian apabila Josiah Seton
menyamakan kedudukan.
Gol Fareed berpunca daripada
sepakan kencang Mohd. Aiman Wong Abdullah yang menerima hantaran lambung Yusri
Che Lah yang gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol Sabah, Khairul Azman
Mohamad.
Penyerang import dari Liberia,
Seton pantas menyamakan kedudukan dua minit kemudian apabila melepasi perangkap
ofsaid pasukan pelawat.
Asmawi Bakiri melorongkan bola
kepada Seton yang membawa bola secara solo dari kawasan tengah dan
memperdayakan Azmin Azram Aziz untuk gol penyamaan Sabah.
Perlawanan antara kedua-dua
pasukan agak seimbang walaupun pasukan Merah Kuning lebih menguasai permainan
terutama pada babak kedua perlawanan.
Dalam usaha menambah jaringan,
Sabah terpaksa bermain 10 orang apabila K. Sambagamaran dilayangkan kad merah
setelah mendapat kad kuning kedua dalam perlawanan itu selepas mengasari pemain
import Selangor, Ivica Kulesevic pada minit ke-76.
Pengadil perlawanan, Mohd.
Rashidi Hamat turut melayangkan kad kuning kepada dua pemain Selangor iaitu B.
Rajnikandh dan Mohd. Aiman dan juga Seton.
Harapan Sabah untuk mencari
kemenangan bagi melebarkan kedudukan mata dalam saingan Perdana Satu terus
gagal apabila ayam tambatannya, Seton terpaksa dikeluarkan setelah mengalami
kejang otot 10 minit sebelum tamat perlawanan dan digantikan oleh Joseph Amoah.
Bagaimanapun, pujian harus diberi
kepada Khairul Azman yang mengawal gawang dengan cemerlang bagi menghalang
Selangor daripada terus membolosi gawang skuad Badak.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0403&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4c1CSDgxh©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan