Selasa, 28 Mac 2017

Latihan skuad bola sepak kebangsaan - FAM pilih Perancis


 

ARKIB : 06/03/2003
ALLAN HARRIS memerhatikan Akmal Rizal melakukan tendangan dalam latihan skuad bawah 23 tahun negara di padang Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI
PERANCIS dijangka menjadi pilihan pasukan bola sepak negara untuk mengadakan latihan dan perlawanan ujian sebelum berdepan kelab Newcastle United, Birmingham City dan Chelsea dalam kejohanan Piala Liga Asia, Julai ini.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad memberitahu, latihan di luar negara penting sebagai pendedahan kepada pemain terutama apabila mereka mempunyai peluang untuk beraksi menentang kelab-kelab bola sepak di negara berkenaan.

``Kita merancang latihan di Eropah... kemungkinan besar Perancis menjadi pilihan kerana negara berkenaan juga maju dari segi bola sepak,'' kata beliau ketika ditemui di Kuala Lumpur, semalam.

Kata beliau, pasukan negara mungkin akan menghabiskan jadual latihan dan perlawanan ujian dalam tempoh lebih seminggu di negara berkenaan.

Bagaimanapun, kata Ibrahim, perkara tersebut masih dalam perancangan FAM dan keputusan muktamad belum dibuat.

``Perancis mempunyai kelab-kelab bola sepak yang hebat dan terkemuka, malah sebahagian besar daripada pemainnya mempunyai kemahiran tinggi.

``Jadi, kita cuba mengatur beberapa perlawanan dengan kelab-kelab tersebut,'' tambahnya.

Dr. Ibrahim berkata, latihan dan perlawanan ujian di Perancis akan memberi banyak pengalaman sebelum pemain turun menentang kelab-kelab dari England dalam kejohanan tersebut.

Beliau mempunyai keyakinan bahawa pasukan bola sepak negara boleh bangkit untuk mengembalikan kecemerlangan sebagaimana sebelum ini.

``Sebenarnya, kita mempunyai barisan pemain yang boleh meningkat sekiranya diberi pendedahan dan peluang untuk beraksi di peringkat antarabangsa.

``Perlawanan Piala Tiger 2002 sebagai contoh membuktikan betapa Malaysia mempunyai barisan pemain muda yang boleh diketengahkan,'' tambah beliau.

Bagaimanapun, kata beliau, pemain muda negara lebih memerlukan banyak perlawanan persahabatan khususnya di peringkat antarabangsa.

Dalam aksi Piala Tiger 2002, Malaysia yang layak ke separuh akhir selepas mempamerkan aksi memberangsangkan apabila menewaskan juara bertahan Thailand 3-1 dan membelasah Singapura 4-0 pada perlawanan peringkat kumpulan.

Malaysia yang layak ke separuh akhir selepas itu terus mempamerkan aksi menarik walaupun kalah tipis 1-0 kepada Indonesia, sekali gus gagal ke perlawanan akhir tetapi bermain dengan hambar bagi penentuan tempat ketiga apabila tewas 2-1 kepada Vietnam.

Skuad kendalian jurulatih Allan Harris pada Piala Tiger 2002 mendapat suntikan ``anak-anak muda'' yang dilihat berpotensi untuk mengembalikan maruah skuad kebangsaan pada masa depan.

Di antaranya ialah Akmal Rizal Rakhli, Juzaili Sameon, Indra Putra Mahayuddin, Norhafiz Zamani Misbah dan Irwan Fadli Idrus
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0306&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cdR1NPMj

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan