KETIADAAN pemain berpengalaman
seperti Ahmad Shahrul Azhar memaksa jurulatih kebangsaan, Allan Harris memberi
lebih tumpuan untuk memantapkan lagi bahagian tengah menjelang pusingan awal
Piala Tiger di Singapura yang bermula 18 Disember ini.
Katanya, kehadiran beberapa
pemain muda yang terpilih buat kali pertama beraksi dalam skuad kebangsaan juga
memerlukan perhatian yang sewajarnya.
``Ini adalah antara cabaran yang
perlu dihadapi dalam usaha membentuk barisan terbaik negara menghadapi
pertandingan itu nanti.
``Bahagian tengah adalah posisi
paling penting yang akan saya bentuk walaupun tiada pemain berpengalaman dan
berpengaruh untuk mengemudinya ketika ini,'' jelasnya.
Sehubungan itu, beliau
mengharapkan Indra Putra Mahayuddin mampu bertindak selaku penggerak utama di
bahagian itu selain Tengku Hazman Raja Hassan, Juzaili Samion dan K.
Nanthakumar.
Manakala Eddy Helmi Manan dan M.
Fadzli Shaari merupakan muka baru yang terpilih menyertai skuad kebangsaan kali
ini.
Harris memulakan latihan fasa
akhir malam kelmarin selepas pemain-pemainnya kembali daripada cuti Hari Raya.
Namun latihan hari kedua petang semalam, dia terpaksa memendekkan waktu latihan
kerana hujan.
Sebelum ini, Ahmad Shahrul sering
menjadi pilihan utama Harris sejak mengambil alih jawatan sebagai jurulatih
negara.
Tetapi atas permintaan pemain itu
sendiri, Harris terpaksa akur dengan menggugurkan Ahmad Shahrul bersama dengan
penyerang Mohd. Khalid Jamlus.
Sehingga ini, Alan mengakui
tugasnya kali ini lebih berat terutama dalam memenuhi matlamat mencipta
pencapaian lebih baik berbanding tempat ketiga Piala Tiger yang berlangsung di
Thailand, dua tahun lalu.
Pada pertandingan tahun 2000 itu,
Malaysia menewaskan Vietnam 3-0 dalam penentuan tempat ke-3/4.
Terdahulu di peringkat separuh
akhir, Malaysia tewas kepada tuan rumah, Thailand 2-0 manakala Indonesia
menewaskan Vietnam 3-2 dalam perlawanan yang berlanjutan hingga ke masa
tambahan.
Thailand yang memiliki kelebihan
beraksi di tempat sendiri kemudiannya muncul juara selepas menewaskan Indonesia
3-1.
Malaysia sebelum ini pernah
melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Tiger yang pertama pada 1996 tetapi
tewas 0-1 kepada Thailand.
Kali ini, Malaysia diletakkan
dalam satu kumpulan dengan juara bertahan, Thailand, Singapura dan Laos.
Malaysia akan mengadakan
perlawanan persahabatan dengan Kemboja esok bagi menguji gandingan pemain yang
dipilih.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1210&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4cPhwjLdX
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan