Selasa, 21 Mac 2017

Malaysia kecundang



ARKIB : 01/03/2002
MALAYSIA gagal melayakkan diri ke perlawanan akhir kejohanan bola sepak bawah 17 tahun AFF apabila ditewaskan oleh Laos, 7-6 menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat, 2-2 pada perlawanan penuh.

Perlawanan yang dilangsung di Stadium MPPJ itu, menyaksikan Malaysia memperoleh gol pertama pada aksi penuh menerusi Zulbadly Ismail selepas mendapat hantaran daripada Mohd. Ridzuan Othman pada minit ke-24. Bagaimanapun Laos berjaya menyamakan kedudukan dua minit selepas itu menerusi Ole Malathong.

Sebaik babak kedua bermula, aksi bertambah rancak dengan Laos mendapat gol kedua menerusi Souksakhone Vongsamany pada minit ke-67.

Malaysia tidak tunggu untuk membalas jaringan tersebut apabila dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil, Euong Vanhien dari Vietnam. Sepakan penalti diambil oleh Mohd. Nurul Azwan pada minit ke-77 untuk melengkapkan keputusan terikat 2-2.

Pada babak sepakan penalti, penjaga gol Laos, Vongsekda Sian Phomhsay gagal menyempurnakan sepakan penalti yang pertama untuk memberikan sedikit harapan kepada Malaysia.

Malaysia turut gagal menyempurkan sepakan penalti yang diambil oleh Mohd. Nurul. Laos meneruskan sepakan menerusi Kaysonge Soukhavong untuk menjadikan keputusan 1-0.

Selepas itu, Kamarul Afiq Kamaruddin mengambil sepakan penalti dan berhasil meloloskan gawang untuk menjadikan keputusan 1-1. Laos bangkit untuk sepakan ketiga melalui Kiettithoum Souvannasoth dan ia berhasil mendahului Malaysia, 2-1.

Kemudian sepakan Malaysia dilakukan oleh Zulbadly Ismail dan berjaya untuk keputusan 2-2.

Sountahalay Xaysongkham yang juga ketua pasukan Laos mengambil sepakan penalti yang keempat dan berjaya menewaskan Mohd. Nasril untuk mendahului 3-2.

Ahmad Azlan Zainal mengambil sepakan penalti keempat untuk menyaksikan keputusan kembali terikat 3-3.

Laos melakukan sepakan terakhir menerusi Souksakhone dan berjaya menyumbat gawang untuk mendahului 4-3.

Ketua pasukan Zulyusry Che Harun berjaya menyamakan kedudukan untuk menjadikan 4-4.

Keputusan untuk sepakan penalti kalah mati terpaksa diambil dan Kefone Vannavong dari Laos melakukan jaringan dan Mohd. Shakir Shaari dari Malaysia juga berjaya menyumbat gawang.

Sepakan penalti diteruskan dan diambil oleh Ole dari Laos dan ia berhasil. Nor Shahrul Idlan masih mampu memberikan saingan untuk Malaysia.

Malaysia akhirnya menerima padah apabila Mohd. Fazirul Zakaria gagal menyepak masuk bola ketika Suthafi berjaya memastikan kemenangan Laos, 7-6.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0301&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4bxJSSr3e
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan