Khamis, 23 Mac 2017

Pertemuan bersejarah di Kuala Lumpur - Misi menyekat temasya gol



ARKIB : 25/05/2002
BARISAN skuad negara diketuai penolong jurulatih, Norizan Bakar (kanan) berlatih di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam menjelang pertemuan persahabatan dengan Brazil, malam ini. - Gambar MOHD. ZAKI AMIRUDDIN.

Oleh JOHARI SHAWAL
AKSI persahabatan bersejarah bakal disaksikan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini apabila skuad bola sepak Malaysia bertemu barisan Piala Dunia Brazil, pertemuan dua pasukan yang dianggap `langit dengan bumi'.

Bersejarah buat Malaysia kerana inilah kali pertama Brazil yang terkenal dengan aksi samba, hadir ke negara ini untuk berlatih dan mengadakan perlawanan persahabatan terakhir sebelum ke Piala Dunia 2002 di Korea Selatan dan Jepun.

Brazil kini di ranking ketiga dunia di belakang Perancis dan Argentina, manakala Malaysia tidak berada antara 100 pasukan terbaik FIFA.

Menariknya malam ini, pengurusan Brazil sudah melaungkan, sebelas pemain pertama yang diturunkan malam ini adalah barisan utama yang akan membawa cabaran Brazil untuk aksi pertama kumpulan C menentang Turki, 3 Jun ini.

Jika itu percaturan jurulatih Brazil, Luiz Felipe Scolari, Malaysia bakal berdepan situasi paling sukar untuk menghalang Brazil daripada berpesta gol.

Dengan adanya Ronaldo dan Rivaldo, skuad Malaysia bimbingan Allan Harris perlu ada ramuan paling baik untuk cuba menyekat pergerakan dua bekas Pemain Terbaik Dunia itu.

Ditambah dengan keperkasaan Roberto Carlos, Ronaldinho, Cafu, Emerson, Kleberson, Lucio, Edmilson dan Roque Junior, Malaysia sebenarnya berdepan dengan sebuah pasukan yang mungkin akan menjulang Piala Dunia 2002.

Kesudian Brazil ke Malaysia dan mengadakan persahabatan dengan pasukan kebangsaan adalah satu penghormatan tertinggi.

Ia juga kesempatan paling berharga buat pemain kebangsaan menimba ilmu daripada bintang-bintang dunia selain peluang sekali seumur hidup peminat tempatan menyaksikan Brazil dengan para bintangnya beraksi di hadapan mata secara langsung.

Mungkin keputusan yang dicatat malam ini tidak begitu penting buat Malaysia kerana sedar mereka menentang pasukan gergasi dunia.

Tetapi bagi Harris, inilah masanya pemain mencuri ilmu berharga daripada aksi persahabatan itu yang sekurang-kurangnya boleh digunakan ketika Sukan Asia dan Piala Tiger.

Persoalannya, apakah mampu Azmin Azram Aziz menghalang penendang berbisa bintang Inter Milan, Ronaldo, Rivaldo (Barcelona) dan Ronaldinho (Paris St. Germain).

Mampukah Subri Sulong dan Rosdi Talib mengekang pergerakan lincah pemain Real Madrid, Roberto Carlos di sayap kiri dan Cafu dari AS Roma di sayap kanan.

Dapatkah Ahmad Shahrul Azhar mencuri penguasaan bintang AS Roma, Emerson di bahagian tengah.

Semuanya bakal disaksikan malam ini apabila barisan bintang dunia itu mempersembahkan skil, teknik, taktik dan kebijakan di hadapan jangkaan lebih 80,000 penonton di stadium.

Perlawanan Brazil-Malaysia adalah persahabatan terakhir buat skuad juara Piala Dunia empat kali itu sebelum berlepas ke Korea Selatan esok untuk mengharungi kempen ke-17.

Pada Piala Dunia 2002 bermula 31 Mei ini, Brazil diletakkan dalam Kumpulan C bersama Turki, China dan Costa Rica

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0525&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cCaroY75
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan