Khamis, 30 Mac 2017

Pra-Olimpik diberi keutamaan

ARKIB : 01/04/2003
SKUAD kebangsaan bawah 22 tahun akan menyambung latihan sambil mengadakan perlawanan persahabatan di Thailand sebagai persiapan menghadapi bola sepak kelayakan Olimpik Mei ini.

Pengurus skuad kebangsaan, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad, berkata, pasukan berkenaan dijangka berada di negara ``gajah putih'' itu selama lima hari.

``Pemain akan melaporkan diri di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya pada 10 April ini dan selepas itu mereka akan terus menjalani latihan di bawah jurulatih Allan Harris.

``Selepas seminggu menjalani latihan di sini (Wisma FAM), baru skuad kebangsaan bawah 22 tahun akan ke Thailand sebelum kembali menyambung latihan di Malaysia,'' kata beliau di Kuala Lumpur, semalam.

Menurut beliau, sekembali ke tanah air, skuad itu turut beraksi menentang Jordan dalam perlawanan persahabatan yang bakal diatur.

Ibrahim yang juga Naib Presiden FAM, menjelaskan, program tersebut diatur supaya dapat memberi pendedahan kepada pemain sebelum mereka menghadapi kejohanan sebenarnya.

Kata beliau, sepatutnya pemain bawah 22 tahun negara telah lama menjalani latihan di Wisma FAM tetapi kerana mereka terlibat dalam perlawanan Liga Malaysia, program untuk mereka terpaksa ditangguhkan.

``Ini adalah di atas permintaan pasukan atau persatuan bola sepak negeri yang mengharapkan khidmat pemain skuad kebangsaan bawah 22 tahun,'' kata beliau.

Namun, kata Ibrahim, selepas 10 April ini, kesemua pemain akan berkumpul di Wisma FAM dan tidak dibenarkan kembali ke pasukan negeri mereka sehingga perlawanan kelayakan Olimpik berakhir.

Ibrahim memberitahu, beliau yakin skuad kebangsaan bawah 22 tahun dapat memberikan persembahan terbaik kerana mempunyai barisan pemain yang mempunyai bakat dan bersemangat tinggi.

``Ini termasuk 12 pemain di dalam kumpulan teras iaitu tonggak yang boleh diserapkan ke dalam pasukan bawah 22 tahun, Piala Asia dan Sukan Sea Vietnam pada hujung tahun ini,'' tambah beliau.

Di antaranya ialah Syamsuri Mustafa, Norhafiz Zamani Misbah, Akmal Rizal Rakhli, Indra Putra Mahayuddin, Juzaili Sameon dan Irwan Fadzli Idrus.SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0401&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4co7JNi3O
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan