Sabtu, 25 Mac 2017

Pemain negara kaku dan terpukau dengan gerakan pantas Oman - Malaysia berhak tersingkir



ARKIB : 28/09/2002
PEMAIN Malaysia, Hairuddin Omar (kanan) berusaha melarikan bola daripada pemain Oman, Hassan Al Gheilani sewaktu perlawanan pusingan pertama acara bola sepak Sukan Asia XIV di Masan, Korea Selatan, semalam. Oman menang 1-0.

SKUAD bola sepak negara berhak tewas kepada Oman 1-0 semalam dalam aksi pembukaan acara itu di peringkat Kumpulan A Sukan Asia XIV di Stadium Utama, Masan, selepas menyaksikan mereka kaku di tengah padang dan terpukau dengan gerakan pantas lawan yang dilihat tanpa henti menyerang gawang Malaysia.

Lebih malang lagi, Malaysia bagaikan jatuh ditimpa tangga akibat turut menyaksikan pemainnya, Nur Hafiz Zamani Nisbah diarah keluar padang oleh pengadil dari Jepun, Yoshida Toshimitsu selepas melakukan terjahan keras ke atas Yousuf SMA Ak Busaidi pada minit ke-24.

Turut dilayangkan kad merah pada pertemuan itu ialah pemain Oman, Fawazi BRB Doorbeen yang menjatuhkan Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-17 yang menerima kad kuning kali kedua.

Kali pertama kad dilayangkan kepadanya ialah pada minit keenam selepas mengkasari ketua pasukan negara, Ahmad Shahrul Azhar Suffian

Kad kuning juga diberikan kepada selepas dia menjatuhkan Hairuddin Omar pada minit ketujuh.

Sementara itu gol Oman diperoleh pada minit ke-63 apabila penyerang Hani Ads Baid Alnoobi berjaya meloloskan diri dari pertahanan negara untuk melakukan hantaran lintang yang disambut kemas rakan sepasukan, Taqi MM Al Siyabi untuk menyepak masuk bola ke dalam gawang.

Bagaimanapun perlawanan di babak pertama ini menyaksikan penguasaan pasukan Oman di kawasan gawang Malaysia dan memaksa penjaga gol negara, Azmin Azram Abdul Aziz bekerja keras untuk menyekat beberapa cubaan bahaya yang dilakukan oleh Hani dan Yousuf.

Peluang terbaik Malaysia diperoleh pada minit ke-43 apabila bola hantaran lintang, Indra Putra tidak didakap kemas penjaga gol Oman, dan melantun ke arah Khalid Jamlus yang berada pada posisi terbaik untuk menyumbat gawang selepas ia terbuka tanpa kawalan Said, malangnya peluang itu disia-siakan selepas ia tersasar di sebelah kanan gawang untuk menyaksikan tiada penyudah berkesan dari skuad kebangsaan di babak pertama ini.

Sebaik babak kedua permainan berlangsung, Malaysia masih gagal mendapatkan rentak permainan dengan terus memberi peluang kepada pemain Oman melakukan serangan.

Pada minit ke-49, kawasan gawang Malaysia dikejutkan sekali lagi dengan cubaan Hani yang memperoleh bola leret di hadapan gawang tetapi gagal menguis bola yang ketika itu tidak langsung dikawal oleh Azmin.

Oman terus menggasak pertahanan Malaysia dan tidak memberi ruang kepada pasukan negara mengatur serangan kecuali pada minit ke-82 apabila mendapat sepakan sudut dan pada minit ke-84 kepada mendapat sepakan percuma, namun kedua-duanya tidak menghasilkan sebarang gol buat kem negara.

Perlawanan semalam, turut disaksikan oleh ketua kontinjen, Datuk Khalid Yunus serta beberapa pegawai sekretariat Malaysia di Busan dan penyokong tempatan yang mengibarkan bendera Malaysia di Stadium Utama Busan ini.

Malaysia akan meneruskan kempen acara bola sepak menentang Maldives, Isnin ini di Stadium Geudeok, Busan sementara Oman bertemu Korea Selatan di Stadium Yangsan pada hari yang sama.

MALAYSIA:

Azmin Azram Abdul Aziz, Subri Sulung, Nur Hafiz Zamani Nisbah, Ahmad Shahrul Azhar Suffian, Eddie Helmi Abdul Manan (Zainizam Marjan), Hairuddin Omar, Mohd. Khalid Jamlus (Mohd. Fadzli Shaari), Indra Putra Mahayuddin, Mohd. Juzali Sameon (Mohd. Shukor Adan), Mohd. Khairunnisam, Irwan Fadzli Idrus.

OMAN:

Said Al Shoon Saliman, Hussain Mustahil Rabiah, Yousuf SMA Ak Busaidi, Fawazi BRB Doorbeen, Taqi MM Al Siyabi (Hashim Salleh Mohamed), Ali A. Harid Al Habsi, Hani Ads Baid Alnoobi, Nasser ZK Al Muskaini, Hassan YM Al Gheilaini (Abdullah ASS Al Saadi), Nabil AB Faraj Allah, Ahmed Ahned HT Al Mukhaini. - Utusan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0928&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cL1meH80© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan