JURULATIH Malaysia, Allan Harris
bersama pembantunya, Zainal Abidin Hassan memerhatikan pemain-pemain negara
menjalani latihan menjelang perlawanan separuh akhir Piala Tiger di Jakarta,
Indonesia semalam. - Gambar Saiful Nizam Bahari.
Daripada ZAINU'L AZHAR ASH'ARI
JAKARTA - Pertemuan `hidup dan
mati' di antara Malaysia dan Indonesia dalam pertandingan separuh akhir Piala
Tiger 2002 belum lagi berlangsung namun bahangnya sudah dirasai dengan
bermulanya `perang psikologi' di sini.
Antaranya, penyediaan padang
latihan kelmarin menimbulkan rasa kurang senang kepada skuad kebangsaan
sehingga mereka terpaksa membatalkan latihan penuh untuk beralih kepada latihan
ringan bagi mengelakkan pemain mendapat kecederaan.
Hanya pada hari semalam barulah
Malaysia mendapat padang yang sesuai dan terpaksa menggandakan latihan sebelum
berdepan tugas berat separuh akhir esok.
``Saya tidak tahu apa sebenarnya
yang berlaku tetapi sebagai jurulatih profesional, sudah tentu saya kurang
senang dengan keadaan padang yang terdapat banyak batu kerikil.
Menurut jurulatih yang berasal
dari England itu, keadaan tersebut menyebabkan dia terpaksa mengubah corak
latihan yang dirancangkan.
``Ini boleh mendatangkan
kecederaan kepada pemain,'' kata Harris merujuk kepada keadaan padang ketika
ditemui selepas latihan skuad Malaysia di Senayan, di sini, semalam.
Bagaimanapun, kata Harris,
semalam Malaysia dapat menjalani latihan di atas padang lebih baik dan dia
tidak mahu terlalu memikirkan masalah itu untuk memberi tumpuan menyediakan
pasukan yang mantap sebelum beraksi.
Dalam latihan petang semalam,
penyerang Hairuddin Omar kembali diturunkan setelah pulih daripada kecederaan
dialami sebelum ini.
Harris memberitahu, biar apa pun
cabaran bakal dihadapi skuad kebangsaan yang beraksi di gelanggang lawan,
pasukan negara sudah bersedia.
``Semangat pemain tinggi untuk
melepasi halangan separuh akhir dan mereka menunjukkan komitmen yang tinggi
dalam latihan dijalankan,'' kata beliau.
Walaupun belum mendedahkan
senarai pemain yang bakal diturunkan ketika berdepan Indonesia, Harris
membayangkan kesebelasan utama ketika menentang Thailand menjadi pilihannya.
Pastinya, penyerang utama, Akmal
Rizal Rakhli bersedia untuk menggalas cabaran memburu jaringan ke atas
Indonesia dengan bantuan Indra Putra Mahayuddin dan rakan-rakan sepasukan lain.
Harris mengakui cabaran separuh
akhir cukup mendebarkan kerana Indonesia juga diakuinya mempunyai kesebelasan
utama yang baik.
``Mereka (Indonesia) merupakan
pasukan yang baik, serangannya dan juga barisan pertahanannya boleh beraksi
dengan mantap.
``Kita perlu menghormati
Indonesia dan kejayaan mereka membelasah Filipina 13-1 menjadi petanda betapa
Indonesia kini tidak boleh dipandang mudah,'' tambahnya.
Namun, Harris berkata, dengan
bersemangat tinggi, sudah pasti Malaysia mampu untuk memberi tentangan hebat. -
Utusan
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cQ5EMQbu
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan