ARKIB : 15/09/2001
KEMENANGAN 2-1 ketika pertemuan
Jun lepas adalah modal psikologi skuad negara apabila melayan penyandang juara,
Thailand dalam perlawanan akhir bola sepak lelaki Sukan SEA XXI di Stadium Shah
Alam malam ini.
Thailand telah merasai peritnya
bermain di bumi Malaysia apabila tewas 2-1 kepada tuan rumah dalam Pesta Bola
Merdeka pertengahan Jun lepas.
Genap 12 tahun lepas, bumi
sendiri juga yang menyaksikan kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas
Sukan SEA.
Kali pertama Malaysia (Malaya)
mendulang emas bola sepak lelaki ketika Sukan SEAP 1961, kemudian mengulanginya
pada 1977 dan 1979 serta kali terakhir pada 1989.
Indonesia, pemenang gangsa di
Brunei dua tahun lepas serta Vietnam yang menang perak Malaysia kalah di
peringkat kumpulan.
Kini, cuma tinggal Thailand
untuk mencongak nasib sama ada mereka akan dilanda perubahan angin bola sepak
Malaysia.
Kemenangan skuad negara, Jun
lepas membuktikan skuad Gajah Putih itu bukanlah kebal daripada kekalahan.
Jurulatih skuad negara, Allan
Harris menjelaskan bahawa anak-anak buahnya telah bersedia dari segi mental dan
fizikal untuk berdepan dengan Thailand.
``Kita mendapat sedikit
kelegaan apabila pernah menewaskan lawan yang akan kita temui lagi. Ini
membuatkan pemain-pemain kita akan bermula dengan perasaan yakin,'' katanya.
Skuad negara bagaimanapun
diingatkan agar tidak lagi melepaskan peluang yang tercipta di depan gol
seperti yang berlaku ketika bertemu Vietnam di peringkat kumpulan dan Myanmar
dalam separuh akhir kelmarin.
``Kita tidak boleh melepaskan
sebarang peluang apabila berdepan dengan pasukan kuat seperti Thailand,''
jelasnya.
Bagaimanapun, Thailand yang
memiliki reputasi tinggi selaku juara empat kali berturut-turut sejak temasya
1993, pasti tidak rela impian untuk memenangi gelaran buat kali kelima
berturut-turut punah.
Selain itu, mereka juga ingin
memastikan dendam kekalahan Jun lepas dilunaskan malam ini.
Skuad Gajah Putih itu boleh
berbangga dengan reputasi sembilan kali menang pingat emas sejak Sukan SEAP
1965, jauh mengatasi negara lain.
Malaysia mara ke perlawanan
akhir dengan kemenangan 1-0 ke atas Myanmar sementara Thailand terpaksa
berhempas pulas sebelum mengatasi Indonesia 2-1 menerusi jaringan gol emas,
kelmarin.
Kedua-dua pasukan dijangka
menyenaraikan barisan pemain yang sama untuk pertemuan terakhir ini.
Pertembungan malam ini juga
akan menyaksikan kehebatan Akmal Rizal Rakhli bersaing dengan Manit Noyvach.
Kedua-dua penyerang telah menyumbat lima gol setakat ini.
Sementara itu, Indonesia dan
Myanmar akan bertemu dalam perlawanan penentuan tempat ke-3/4 di Stadium
Petaling Jaya petang ini. Indonesia memiliki kelebihan kerana penyokong mereka
yang terdiri dari pekerja di sini sudah pasti akan menenggelamkan sorakan peminat
Myanmar.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0915&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4bkKhUyZX
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan