Khamis, 23 Mac 2017

‘Malaysia, Filipina terkena sumpahan’



S. VEENOD (tengah) mendapat kesempatan untuk menghasilkan gol
S. VEENOD (tengah) mendapat kesempatan untuk menghasilkan gol kemenangan Malaysia namun sepakannya tersasar sedikit pada penghujung perlawanan.

23 Mac 2017 12:05 AM

KUALA LUMPUR 22 Mac – Datuk Ong Kim Swee masih gagal memecah kebuntuan apabila bertemu Filipina setelah pasukannya sekadar seri tanpa jaringan di Manila malam ini.

Ini adalah keputusan seri ketiga berturut-turut dicatatkan oleh Harimau Malaysia ketika bertemu Filipina sepanjang berada di bawah bimbingan Kim Swee. Dua perlawanan mereka di Cebu dan Selayang pada 2014 juga ber­akhir dengan 0-0.

Situasi itu membuatkan Kim Swee menganggap pertemuan kedua-dua pasukan seperti terkena sumpahan namun tetap berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya.

“Saya selalu percaya Filipina adalah lawan yang sukar. Babak pertama mereka mengawal permainan manakala separuh masa kedua giliran kami pula. Bagi saya, ini keputusan yang adil. Kami mahu menang tapi anda (media) tahu Filipina telah me­ningkat dengan mendadak dalam tempoh beberapa tahun ini.

“Malah, ranking mereka juga lebih baik daripada kami. Saya tidak fikir kami tidak mencapai matlamat kami. Saya tidak tahu, mungkin ada sumpahan antara Malaysia dengan Filipina apabila kami seri tiga kali tapi macam saya katakan, permainan ini sama rata,” katanya.

Filipina yang dibimbing oleh Thomas Dooley bermula dengan garang apabila kapten Philip James Younghusband cuba untuk menembusi gawang Harimau Malaysia seawal minit pertama bagaimanapun percubaannya berjaya dinafikan oleh penjaga gol Mohd. Khairul Azhan Mohd. Khalid.

Kedua-dua pasukan cuba bermain pantas sepanjang permainan dan jelas masing-ma­sing mahu memburu gol awal bagaimanapun tiada satu pun percubaan yang dilakukan berjaya menembusi gawang.

Tuan rumah kelihatan ba­nyak berusaha menerobos me­lalui sebelah kanan pada babak pertama yang menyebabkan Mohd. Rizal Mohd. Ghazali terpaksa bekerja keras, tetapi bantuan rakan-rakannya berjaya membantunya untuk mengeluarkan bola dari zon bahaya.

Malaysia memiliki peluang terbaik untuk menembusi gawang lawan ketika permainan berbaki dua minit namun rembatan pemain gantian S. Veenod tersasar sedikit di sebe­lah kanan tiang gol

Sumber-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/8216-malaysia-filipina-terkena-sumpahan-8217-1.460468#ixzz4cCDJG9rt
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan