Selasa, 21 Mac 2017

Malaysia serius tentang Brazil

ARKIB : 30/03/2002
Oleh JOHARI SHAWAL
SEKURANG-KURANGNYA tiga perlawanan persahabatan di China dan di Medan, Indonesia serta negara-negara lain sekitar Asia diatur oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai persiapan skuad kebangsaan menentang juara dunia, Brazil pada 26 Mei ini.

Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, skuad kebangsaan akan menentang beberapa kelab di negara-negara berkenaan.

``Itu adalah cadangan awal kami. Kita perlu kukuhkan pasukan kita,'' kata Tengku Abdullah di Kuala Lumpur, semalam.

FAM masih menunggu surat rasmi daripada Persekutuan Bola Sepak Brazil (CBF) mengenai perlawanan persahabatan itu.

Beliau mengulas keputusan CBF yang mengesahkan akan menentang Malaysia dalam satu perlawanan.

Juara dunia empat kali itu diletakkan dalam Kumpulan C bersama Turki, China dan Costa Rica dan akan beraksi di Seoul.

Brazil yang dibimbing jurulatih Luiz Felipe Scolari, bakal membawa barisan penuh mereka ke Malaysia termasuk bintang utamanya yang pernah meraih gelaran Pemain Terbaik Dunia, Ronaldo yang beraksi dengan Inter Milan dan Rivaldo (Barcelona).

Malaysia yang dibimbing jurulatih dari England, Allan Harris akan memulakan fasa latihan kedua 24-29 April depan untuk menyertai Piala Tiger pada Ogos dan Sukan Asia di Busan, Korea Selatan, pada bulan September.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0330&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4byVfDkdO© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan