Ahad, 19 Mac 2017

FAM urus gaji pemain

ARKIB : 09/10/2001
Oleh YUSWANDI MAJID
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mungkin akan mengambil alih pengurusan pembayaran gaji pemain-pemain dalam Liga Malaysia musim depan sebagai langkah untuk mengatasi masalah kelewatan pembayaran gaji oleh persatuan-persatuan negeri.

Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, pihaknya akan membincangkan perkara berkenaan dan mencadangkan kaedah berkenaan untuk dilaksanakan musim depan.

Ujarnya, Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) akan dicadangkan sebagai perintis untuk melaksanakan kaedah baru itu dan sekiranya berjaya ia akan digunakan untuk persatuan-persatuan negeri lain.

``Bagaimanapun, FAM tidak memaksa mana-mana persatuan untuk menyerahkan pengurusan pembayaran gaji kepada FAM, tetapi sebaliknya berharap pihak terbabit `mempelawa' FAM,'' katanya selepas merasmikan Latihan Kem Tahunan Rejimen 505 Askar Wataniah di Kem Rejimen Ketujuh Renjer Mekanise, Batu Lima dekat Temerloh.

Beliau berkata, FAM juga tidak berhasrat untuk menguruskan soal gaji pemain ini selama-lamanya sebaliknya akan menyerahkan semula kepada persatuan negeri yang sudah mampu mengatasi masalah berkenaan.

Menurutnya, FAM merasakan masalah berkenaan perlu diatasi dengan segera kerana sekiranya berterusan ia sudah pasti menjejaskan rancangan jangka panjang FAM untuk mewujudkan profesionalisme dalam bola sepak negara.

``Para pemain sepatutnya diberikan gaji sebagaimana yang dijanjikan dan jika berlaku kelewatan sudah tentu para pemain berada dalam keadaan yang sukar,'' katanya.

Menurutnya, masalah kelewatan pembayaran gaji sudah menjadi agak keterlaluan dan jika berlarutan sehingga beberapa bulan sudah tentu para pemain tidak dapat bersikap positif dalam permainan mereka.

Justeru katanya, FAM merasakan perlu ada langkah atau mekanisme yang mampu menyelesaikan kemelut berkenaan daripada berterusan.

Bagaimanapun, Tengku Abdullah mahu setiap persatuan negeri terus berikhtiar untuk menyelesaikan masalah kewangan masing-masing agar pemain tidak menghadapi masalah dan menjejaskan mutu bola sepak negara.

``Kedua-dua pihak, persatuan dan pemain perlu berkerjasama dalam soal ini,'' katanya



sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1009&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4blIc43fu

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan