Sabtu, 18 Mac 2017

Malaysia perlu menang

ARKIB : 02/09/2001
Oleh A. JAILANI ABDULLAH
SKUAD Allan Harris tidak berupaya mencatat keputusan lain selain menang ke atas Brunei pada perlawanan pertamanya dalam kempen bola sepak Sukan SEA XXI di Stadium MPPJ, Kelana Jaya, hari ini.

Kemenangan dari perlawanan pertama amat penting bagi skuad muda negara untuk memastikan sokongan peminat terhadap mereka tidak merosot.

Selain itu tiga mata pertama akan memberikan mereka kemenangan moral untuk menghadapi perlawanan seterusnya dengan pencabar lebih kuat yang sedia menanti.

Malaysia dan Brunei diundi dalam kumpulan B bersama-sama naib juara 1999, Indonesia dan pemenang tempat ketiga, Vietnam.

Selepas menjalani latihan intensif sejak Jun lepas dan diberikan pendedahan antarabangsa dalam Pestabola Merdeka, perlawanan persahabatan antarabangsa, menentang Manchester United dan terakhir beraksi dalam Piala LG di Vietnam, tiada alasan lagi untuk skuad yang diketuai oleh Hairuddin Omar daripada mencatatkan kemenangan.

Brunei dianggap pasukan paling lemah dalam kumpulan B walaupun mempunyai tujuh pemain yang beraksi dalam Perdana Dua.

Penyertaan Brunei dalam Liga Malaysia sepatutnya sudah memberi kelebihan kepada skuad negara kerana rahsia permainan mereka sudah sedia terdedah.

Jurulatih kebangsaan, Harris dijangka menyenaraikan barisan yang beraksi dalam Pestabola Merdeka untuk perlawanan sulung ini dengan penyerang yang pernah bermain di Perancis, Akmal Rizal Rakhli dan Hairuddin bertindak sebagai penggempur.

Akmal yang cedera buku lali ketika menentang Laos dalam perlawanan persahabatan 27 Ogos lepas, disahkan sudah pulih.

Harris bagaimanapun mengingatkan anak-anak buahnya agar berwaspada kerana Brunei akan berusaha mati-matian untuk mencari mata semangat.

``Perlawanan pertama sentiasa sukar buat semua pasukan dan kita perlu menghormati semua pasukan termasuk Brunei,'' kata Harris. ``Saya harap mereka menang untuk mengurangkan sedikit tekanan bagi menghadapi perlawanan seterusnya.''

BARISAN KEMUNGKINAN MALAYSIA: Kamarulzaman Hassan, Norhafiz Zamani Misbah, Mohd. Nizam Jamil, Abd. Aziz Ismail, Irwan Fadli Idrus, Subri Sulong, Mohd. Shukor Adan, Juzaili Samion, Mohd. Saiful Sabtu, Hairuddin Omar, Akmal Rizal Rakhli.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0902&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bk3Igmnh

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan