Sabtu, 25 Mac 2017

Tidak mahu tumpuan pemain Piala Tiger terjejas - FAM bantu lunaskan gaji



ARKIB : 16/11/2002
DEMI memastikan tumpuan pemain tidak terjejas untuk menghadapi Kejohanan Piala Tiger bulan depan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bertindak menangani sendiri masalah pembayaran gaji yang dialami oleh beberapa pemain.

Perkara itu diakui oleh pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad ekoran aduan beberapa pemain kebangsaan berhubung kegagalan pasukan negeri melunaskan gaji mereka.

``Memang setiap kali mereka melaporkan diri untuk latihan pusat, itulah perkara pertama yang saya tanyakan. Ini adalah masalah yang sentiasa timbul.

``Malah masalah ini sudah wujud sejak saya mengambil alih tugas sebagai pengurus pasukan kebangsaan ketika Piala Tiger di Thailand, dua tahun lalu,'' kata Dr. Ibrahim dalam kenyataannya di Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Dr. Ibrahim, FAM sebelumnya telahpun menghantar surat kepada beberapa persatuan bola sepak negeri untuk mendesak mereka melunaskan bayaran gaji pemain-pemain kebangsaan.

``Bagaimanapun, saya baru dihubungi oleh Timbalan Presiden FAM, Tengku Mahkota Pahang (Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah), yang memutuskan supaya FAM membayar gaji tertunggak pemain dalam kem latihan pasukan kebangsaan.

``Keputusan ini diambil demi memastikan tumpuan mereka tidak terganggu selain memastikan pemain-pemain ini mampu menyediakan kemudahan perlu sempena Hari Raya Aidilfitri nanti,'' kata Dr. Ibrahim.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas rungutan beberapa pemain Terengganu yang sedang menjalani latihan bersama skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya, ketika ini.

Difahamkan pemain berkenaan, Hairuddin Omar, Rosdi Talib, Subri Sulong dan Syamsuri Mustafa yang menyarung jersi Terengganu musim ini, bertindak meninggalkan pasukan Penyu dan sedang mencari pasukan lain untuk Liga Malaysia musim depan.

Tindakan empat pemain itu dikatakan kerana tidak tahan dengan kerenah Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang lambat melunaskan gaji pemain ketika wang amat diperlukan untuk menyara hidup masing-masing.

Dr. Ibrahim turut mendesak persatuan-persatuan bola sepak negeri supaya bersikap lebih bertanggungjawab demi memastikan masalah sebegini tidak berlarutan.

``Saya berharap agar inilah kali terakhir FAM terpaksa berbuat demikian. Jika persatuan bola sepak negeri mampu lebih profesional dan bertanggungjawab, masalah sebegini pastinya tidak akan timbul,'' tegasnya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cOxk5QZP
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan