Sabtu, 25 Mac 2017

Cuma gah dalam liga tempatan

ARKIB : 29/09/2002
KETIADAAN Akmal Rizal Ahmad Rakhli di barisan serangan nyata belum mampu diisi oleh Hairuddin Omar mahupun Eddie Helmi Abdul Manan ketika skuad negara tewas 1-0 kepada Oman dalam perlawanan bola sepak Sukan Asia XIV Busan, kelmarin.

Ditambah dengan ketumpulan sentuhan Khalid Jamlus, tidak banyak yang mampu diharapkan untuk mengubah nasib itu kecuali sekadar terus berputih mata.

Pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Dr. Ibrahim Saad berkata, Khalid agak lembab dalam aksi di Stadium Utama Masan manakala Hairuddin belum dapat menyesuaikan diri.

``Khalid tidak setajam biasa walaupun kita banyak memperoleh peluang yang bagus. Hairuddin pula mungkin kali pertama bermain sepenuh masa sejak kembali menyertai pasukan.

``Ini juga membuktikan penyerang kita sebenarnya cuma gah dalam Liga Malaysia tetapi belum menepati taraf persaingan antarabangsa,'' katanya di Perkampungan Sukan, semalam.

Menurut Dr. Ibrahim, pujian bagaimanapun tidak sepatutnya disisihkan daripada skuad negara yang dibarisi sebilangan besar pemain bawah 23 tahun kerana kerja keras dan kerajinan mereka untuk cuba menembusi benteng Oman.

``Yang kalah, kalahlah. Saya bukan jenis yang mahu memberi alasan tetapi kita selepas ini mesti melihat ke depan dengan mengalahkan Maldives mahupun Korea Selatan.

``Ia bukan mustahil kerana bola itu bulat. Kita ke sini mesti yakin dengan kemampuan sendiri dan tidak sepatutnya takut menanggung kekalahan apabila bertanding,'' katanya.

Mengenai Norhafiz Zamani Misbah yang dibuang padang kelmarin, beliau berkata, benteng tengah itu bakal digantikan oleh Mohd. Nidzam Jamil dalam perlawanan kedua esok.

Dalam perkembangan lain, Dr. Ibrahim menyangkal dakwaan kononnya ketua jurulatih negara, Allan Harris enggan menghadiri sidang akhbar selepas perlawanan sulung Malaysia dalam kumpulan A itu.

Beliau berkata, Harris dan anak buahnya berada dalam bilik persalinan di Stadium Utama Masan selama 45 minit tetapi tiada seorang pun pegawai penganjur datang memaklumkan tentang sidang itu.

``Selama 45 minit kami di situ, tiada siapa pun beritahu kami bahawa Harris perlu menghadiri sidang akhbar,'' jelas Dr. Ibrahim. - Utusan

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0929&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4cL32Enul
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan