ARKIB : 28/12/2002
Rosdi Talib melepasi asakan keras
pemain Indonesia, Bambang Pamungkas, pada perlawanan separuh akhir Piala Tiger
menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Senayan, Jakarta, semalam. -
Gambar Saiful Nizam Bahari.
Daripada ZAINU'L AZHAR ASH'ARI
JAKARTA - Malaysia gagal
mengotakan janji untuk ke perlawanan akhir bola sepak Piala Tiger 2002 apabila
tewas 1-0 kepada Indonesia dalam saingan separuh akhir yang mendebarkan di
Stadium Gelora Bung Karno, Senayan, di sini, semalam.
Sebaliknya, Indonesia menerusi
jaringan tunggal penyerang handalannya, Bambamg Pamungkas pada minit ke-75
mengulangi kejayaan mengekalkan rekod ke perlawanan akhir untuk bertemu
Thailand sebagaimana dilakukan dalam pertandingan yang sama di Bangkok pada
tahun 2000.
Indonesia yang beraksi di depan
kira-kira 60,000 penyokong akan sekali lagi berdepan dengan juara bertahan
Thailand yang sebelum itu mengalahkan Vietnam 4-0 dalam satu lagi saingan
separuh akhir.
Sementara pencapaian terbaik
negara dalam kejohanan itu ialah pada 1996 dengan beraksi dalam perlawanan akhir
tetapi tewas 1-0 kepada Thailand dan pada kejohanan dua tahun lalu, skuad
kebangsaan cuma mendapat tempat ketiga.
Jurulatih kebangsaan, Allan
Harris kecewa dengan keputusan itu dan memberi alasan barisan pemainnya yang
kurang pengalaman dan masih muda dengan sebahagian besar berusia 21 tahun.
``Saya rasa sedikit kecewa tetapi
itulah bola sepak. Kami mencipta beberapa peluang dan terus berusaha mencari
gol tetapi tidak bernasib baik,'' kata jurulatih dari England itu.
Jurulatih Indonesia, Ivan Kolev
mengakui Malaysia lebih banyak melancarkan serangan dan pemainnya pula gagal
menguasai bahagian tengah.
``Kami perlu mengubah kelemahan
itu apabila menentang Thailand pada perlawanan akhir nanti,'' kata jurulatih
berbangsa Bulgaria itu.
Saingan kedua-dua pasukan tegang
yang menyaksikan kad kuning dilayangkan oleh pengadil dari Bahrain, Ebrahim
Abdul Hamed untuk pemain Indonesia, Supriyono dan pemain Malaysia, Khaironnisam
Sahabudin.
Ketegangan semakin terasa
sehingga berakhir babak permainan separuh masa pertama apabila skuad Malaysia
yang menuju ke bilik persalinan dilontar dengan botol air mineral.
Kesempatan terbaik terhidang,
dimulakan gerakan cantik Eddy Helmi Manan yang membuat hantaran pendek kepada
Akmal Rizal Ahmad Rakhli namun sepakan penyerang itu sedikit tersasar pada
minit ke-56.
Di sebalik keghairahan mengasak,
kubu Malaysia cemas seketika hasil serangan mengejut mengkucar-kacirkan benteng
pertahanan skuad kebangsaan sehinggalah kegagalan Zaenal Arif melakukan sepakan
tepat pada minit ke-62 yang melegakan anak-anak buah Harris.
Namun, malang akhirnya menimpa
skuad negara apabila keadaan kelam kabut di depan pintu gawang skuad kebangsaan
menyaksikan kesempatan terbaik diambil Bambang yang menjadi pemusnah menerusi
tandukan lemah tetapi gagal diselamatkan penjaga gol, Azmin Azram Abdul Aziz
pada minit ke-75 untuk menyemarakkan penyokong tuan rumah kerana kejayaan ke
perlawanan akhir Piala Tiger 2002. - Utusan
MALAYSIA:
Azmin Azram Abdul Aziz, Subri
Sulong, Norhafiz Zamani Misbah, Khaironnisam Sahabudin, Rosdi Talib, K. Nantha
Kumar, Eddy Helmi Abdul Manan, Tengku Hazman Raja Hassan, (Nizaruddin Yusuf)
Indra Putra Mahayuddin, Hairuddin Omar, Akmal Rizal Rakhli.
INDONESIA:
Hendro Kartiko, Agung Setyobudi,
Sugiyantoro, Firmansyah, Nuralim, Supriyono (Aples Gidion Tecuari), Amir Yusuf
(Hary Syaputra), Iputu Gede Swisantoso, Budi Sudarsono, Zaenal Arif, Bambang Pamungkas.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1228&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cQB8bvvZ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan