ARKIB : 09/10/2001
MALAYSIA berada dalam keadaan
sukar menjelang Kejohanan Bola Sepak Sekolah-Sekolah Asia Bawah 18 yang bermula
13 Oktober ini.
Ketika perlawanan sulung
Malaysia menentang Hong Kong hanya tinggal lima hari sahaja lagi, skuad negara
menerima tamparan berat apabila empat pemain utamanya mengalami kecederaan
dalam fasa terakhir latihan.
Mereka ialah pemain tengah,
Tengku Alias Ibrahim dan Norisham Hassan dari Terengganu, Amir Shahrim Abd.
Mubin dan penjaga gol, Kam Soon Hong.
``Semuanya cedera hari ini,''
kata jurulatih, Paiza Md. Dom ketika perlawanan persahabatan antara anak
buahnya dengan skuad Bawah 16 tahun negara di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Keadaan itu, katanya amat
membimbangkan dirinya kerana keempat-empat pemain itu adalah yang paling
berpengalaman sekali gus diletakkan harapan untuk membimbing rakan-rakan
mereka.
Katanya, percaturan beliau
sekarang ialah mengubah posisi pemain tengah, Mohamed Fadzli Shaari, yang
pernah bermain dengan kelab divisyen tiga Jerman, SV Wehen ke bahagian serangan
untuk mengukuhkan bahagian itu akibat kecederaan Amir Shahrim.
Tengku Alias, pemain tengah
skuad Liga-M Terengganu, cedera kaki kanan. Norisham pula cedera ketika
perlawanan persahabatan semalam.
Penyerang, Amir Shahrim
merupakan penjaring terbanyak ketika beraksi bersama skuad liga simpanan
Selangor tahun lepas.
Soon Hong dari Johor adalah
penjaga gol berpengalaman yang pernah beraksi dalam kejohanan yang sama ketika
di Bangkok tahun lepas.
Kata Paiza, keadaan itu
membuatkan beliau terpaksa menangguhkan pemilihan akhir pemain yang sepatutnya
dibuat semalam.
Skuad negara yang meletakkan
sasaran untuk muncul juara, mula menjalani latihan pusat sejak 24 Ogos lepas.
Mereka telah mengadakan sebanyak 12 perlawanan persahabatan termasuk
menumpaskan skuad Bawah 16 5-1 semalam.
Skuad negara berada dalam
kumpulan B kejohanan selama lapan hari itu, bersama-sama juara bertahan,
Thailand, Sri Lanka, Hong Kong dan Brunei.
Kumpulan B pula terdiri dari
Indonesia, Korea Selatan, China, India dan Vietnam.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1009&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4blKJ3O4B
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan