CABARAN getir skuad bola sepak
negara pada Piala Tiger 2002 bermula malam ini dengan perlawanan terpenting
menentang tuan rumah, Singapura dalam saingan Kumpulan B di Stadium Nasional
Singapura.
Perlawanan antara dua negara
jiran itu pasti ditunggu-tunggu oleh kedua-dua pasukan kerana ia mampu
menentukan terus kedudukan masing-masing dalam kempen edisi keempat ini.
Tiada lain keputusan yang diburu
selain kemenangan mutlak untuk mengintai tempat ke separuh akhir.
Malaysia malah Singapura juga
sedar, kekalahan akan menutup terus peluang ke separuh akhir kerana Kumpulan B
turut terdiri daripada gergasi Asia Tenggara, Thailand yang hadir selaku juara
bertahan.
``Saya percaya kepada pasukan
saya. Singapura adalah pasukan yang dibarisi pemain berpengalaman dan memiliki
kelebihan bermain di tempat sendiri. Mereka bermain sebagai pasukan pilihan.
``Tetapi ia tidak membimbangkan
kami kerana ada kalanya kelebihan itu boleh berubah disebabkan tekanan,'' kata
jurulatih Malaysia, Allan Harris.
Katanya, beliau yakin barisan
pemainnya akan mempamerkan prestasi terbaik dan menganggap perlawanan dengan
Singapura begitu sengit.
``Salah satu pasukan akan menang
dengan jaringan satu gol atau mungkin seri,'' tambahnya.
Dalam pada itu jurulatih
Singapura, Jan Poulsen berkata, pasukan berpeluang cerah untuk menang
perlawanan itu kerana lebih bersedia.
``Pasukan ini seratus peratus
cergas dan bersedia untuk perlawanan itu.
``Pertemuan dengan Malaysia pasti
sengit tetapi saya yakin kami akan menang. Kelebihan tempat sendiri dengan
sokongan penyokong akan digunakan sepenuhnya,'' katanya.
Sementara itu dalam saingan
Kumpulan A di Jakarta, tuan rumah Indonesia yang seri tanpa jaringan dengan
Myanmar pada perlawanan pembukaan Ahad lalu, hanya menang 4-2 ke atas Kemboja,
semalam.
Myanmar bagaimanapun menang besar
6-1 ke atas Filipina. Myanmar di tangga teratas kumpulan tetapi berkongsi empat
mata dengan Indonesia.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4cPsKiIoP
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan