Sabtu, 25 Mac 2017

Kejohanan Bola Sepak Piala Tiger di Singapura - Khalid antara yang digugurkan

ARKIB : 05/12/2002
Oleh Johari Shawal
DUA tonggak utama Perak, penyerang Muhammad Khalid Jamlus dan ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar Sofian adalah antara empat pemain yang digugurkan daripada skuad bola sepak kebangsaan yang bakal mengharungi Kejohanan Piala Tiger di Singapura, bulan ini.

Dua lagi pemain, Aziz Ismail dari Pulau Pinang dan Marzuki Yusof dari Terengganu turut digugurkan daripada skuad.

Jurulatih kebangsaan, Allan Harris sebaliknya memanggil tiga muka baru dalam barisan pasukannya iaitu pemain pertahanan, Chan Wing Hoong dan A. Victor serta pemain tengah, K. Nanthakumar, ketiga-tiganya dari Perak.

Harris berkata, Khalid digugurkan daripada skuad kerana penyerang itu kurang berdisiplin semasa berada dalam kem latihan.

``Dia juga cuba mempertikaikan sebab penggugurannya dalam barisan pasukan ini,'' kata Harris semasa mengumumkan barisan pasukan negara ke Piala Tiger dalam sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Hadir sama pengurus pasukan, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad dan penolong jurulatih, B. Sathianathan.

Menurut Harris, Ahmad Shahrul pula digugurkan kerana pemain itu lebih awal menarik diri daripada skuad sebelum pemilihan pasukan.

``Dia (Ahmad Shahrul) telah menyuarakan hasratnya menarik diri daripada skuad semasa kami mengadakan perlawanan persahabatan di Dubai.

``Dia memberi alasan terlalu penat dari segi mental dan fizikal setelah empat tahun menambur bakti kepada negara dan meminta digugurkan daripada skuad,'' katanya.

Ketika menyarung jersi kebangsaan, Ahmad Shahrul menjadi pemain utama yang diberi kepercayaan oleh Harris untuk memikul tugas selaku ketua pasukan.

Bagaimanapun, barisan ke Piala Tiger di Singapura ini akan diketuai oleh Tengku Hazman Raja Hassan dari Selangor.

Ketiadaan Khalid, penyerang terbanyak Liga Perdana Satu tahun ini, memberi ruang buat Mohd. Nizaruddin Yusof dan Zainizam Marjan untuk menunjukkan ketangkasan masing-masing.

Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Hairuddin Omar merupakan dua lagi penyerang yang mendapat kepercayaan Harris.

Menurut Harris, pemain yang digugurkan bukan bermakna tidak akan dapat beraksi untuk skuad kebangsaan pada masa akan datang.

``Perlawanan pertama adalah penting dan hanya kemenangan dapat menyuntik semangat pasukan,'' katanya.

Piala Tiger berlangsung pada 14 hingga 23 Disember ini. Malaysia diletakkan dalam kumpulan B bersama juara bertahan, Thailand, Laos dan tuan rumah, Singapura.

BARISAN PEMAIN

Penjaga gol: Azmin Azram Abdul Aziz, Mohd. Syamsuri Mustafa

Pertahanan: Irwan Fadzli Idrus, Victor Andrag, Subri Sulong, Rosdi Talib, Norhafiz Zamani Misbah, Muhammad Khaironisam Hussein, Mohd. Nizam Jamil,

Tengah: Chan Wing Hoong, Eddy Helmi Manan, Indra Putra Mahayuddin, Mohd. Fadzli Shaari, Muhammad Juzaili Samion, K. Nanthakumar, Tengku Hazman Raja Hassan,

Penyerang: Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Hairuddin Omar, Mohd. Nizaruddin Yusof, Zainizam Marjan.

JADUAL PERLAWANAN

18 Disember : Lawan Singapura

20 Disember : Lawan Laos

22 Disember : Lawan Thailand

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1205&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cPMziW8R
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan