ARKIB : 21/09/2002
Akmal Rizal (kiri) dihalang
pemain Bahrain, Aziz Saleh, pada perlawanan persahabatan di Stadium Pasir
Gudang, Johor, malam kelmarin. Malaysia menang 3-2. - Gambar Baizura Harun.
KELEGAAN jelas terbayang di wajah
jurulatih pasukan bola sepak negara, Allan Harris berikutan kejayaan anak-anak
buahnya mencatat kemenangan 3-2 ke atas Bahrain dalam perlawanan persahabatan
di Stadium Pasir Gudang, kelmarin.
Begitupun Harris terpaksa
mengambil tempoh 24 jam lagi sebelum mengumumkan senarai 16 pemain yang bakal
membawa cabaran negara pada Sukan Asia XIV di Busan.
Senarai itu hanya akan diumumkan
hari ini, sehari sebelum pasukan itu berlepas ke Korea Selatan untuk menyertai
temasya yang dijadual berlangsung dari 27 September hingga 13 Oktober ini.
Dalam perlawanan kelmarin, tiga
gol untuk pasukan negara dijaringkan oleh Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Indra Putra
Mahyuddin dan Mohd. Khalid Jamlus, manakala gol pasukan pelawat dijaringkan
oleh Mohamad Jaafar dan Husain Ali.
Harris juga memberitahu, perlawanan
persahabatan kedua menentang Bahrain di Stadium Shah Alam, Selangor yang
dijadual berlangsung hari ini dibatalkan kerana kesuntukan masa.
``Perlawanan itu terpaksa
dibatalkan kerana kesuntukan masa setelah kami dijadualkan berlepas ke Busan,
Ahad ini (esok).
``Saya berpuas hati dengan
persembahan kesemua (26 orang) pemain yang telah menjalani ujian.
Keseluruhannya menunjukkan prestasi yang baik. Hanya yang terbaik akan
dipilih,'' ujarnya.
Sebelum ini, Malaysia menumpaskan
skuad Happy Valley FC dari Hong Kong 5-0 dalam perlawanan persahabatan 6
September lalu.
Bagaimanapun Malaysia tewas 0-3
kepada pasukan Amiriah Arab Bersatu pada 8 September lepas.
Menyentuh cabaran di Busan nanti,
Allan berkata, ujian disana cukup besar terutama berada satu kumpulan dengan
Korea Selatan, Oman dan Maldives.
Malaysia akan memulakan cabaran
menentang Maldives.
Menurut Harris, Maldives dan Oman
mungkin kurang menonjol dan yang pasti ujian getir ialah apabila berdepan
dengan Korea Selatan, yang mempunyai rekod cemerlang berikutan kejayaan mereka
mara ke separuh akhir Piala Dunia yang lalu.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0921&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cKqgqwd9©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan