Jumaat, 24 Mac 2017

Acara bola sepak Sukan Asia - Korea dalam kumpulan sama



ARKIB : 10/07/2002

MALAYSIA berpeluang menguji kehebatan pasukan `gergasi' Asia, Korea Selatan yang melakukan kejutan terbesar dalam sejarah Piala Dunia bulan lalu apabila diundi dalam satu kumpulan pada Sukan Asia di Busan dari 27 September hingga 13 Oktober ini.

Kehebatan Korea Selatan begitu terserlah apabila layak ke separuh akhir sebelum menduduki tempat keempat dalam kejohanan terbesar dunia.

Pasukan negara diundi dalam kumpulan A. Dua lagi pasukan yang menganggotai kumpulan ini ialah Maldives dan Oman.

Atas kertas ia mungkin sukar bagi pasukan negara untuk melangkah ke pusingan yang lebih jauh.

Namun ia bakal memberi pendedahan terbaik kepada para pemain negara khususnya barisan muda untuk meraih pengalaman berguna menentang pasukan yang baru dinobatkan sebagai jaguh Asia dalam Piala Dunia.

Disebalik cabaran getir Korea Selatan, Malaysia juga perlu menghadapi pasukan dari Timur Tengah, Oman yang tidak kurang hebatnya dan Maldives, yang mungkin kurang diketahui kehebatan mereka.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata, peluang untuk bertemu pasukan sehebat Korea Selatan harus digunakan sepenuhnya oleh barisan pemain negara.

Katanya, tidak timbul soal sama ada pasukan negara bakal menjadi pasukan belasahan pada temasya itu nanti.

``Untuk para pemain ia peluang terbaik mempelajari teknik dan kemahiran yang dimiliki pasukan gergasi Asia itu,'' kata Raja Ahmad.

Korea Selatan yang mencatat kejayaan gemilang dibawah bimbingan jurulatih Belanda, Guus Hiddink bagaimanapun mungkin menurunkan barisan pemain kedua berikutan ramai pemain mereka yang terlibat dalam liga di Eropah.

Malah Hiddink tidak lagi bersama pasukan itu selepas menamatkan kontrak dan kini menandatangani kontrak dua tahun bersama PSV Eindhoven.

``Walaupun menurunkan pasukan muda, kemahiran pemain Korea Selatan ketika ini jauh lebih baik berbanding pemain kita,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai undian kumpulan bagi acara bola sepak Sukan Asia yang diumumkan semalam.

Mengenai dua lagi pencabar dalam kumpulan itu, Raja Ahmad Zainuddin berkata, Malaysia tidak boleh memandang rendah keupayaan Maldives dan Oman.

Katanya, kedua-dua pasukan itu tetap mampu memberikan saingan kepada Malaysia walaupun tidak begitu dikenali dan diketahui kehebatannya.

``Bagaimanapun undian ini merupakan satu ujian terbaik buat Malaysia. Matlamat kita ialah untuk belajar dan mencari pendedahan,'' tegasnya.

Dalam aksi terakhir, pasukan bola sepak negara yang dibimbing oleh jurulatih Inggeris, Allan Harris tewas 4-0 kepada Brazil dalam satu perlawanan persahabatan.

Brazil mengadakan persinggahan terakhir di Kuala Lumpur Mei lalu sebelum beraksi dan muncul juara Piala Dunia dengan menewaskan Jerman 2-0 pada perlawanan akhir di Yokohama, Jepun 30 Jun lalu

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0710&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cDycNKOW
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan