Selasa, 21 Mac 2017

Kim Swee tidak peduli

ONG KIM SWEE (tiga dari kanan) menerangkan taktikal pasukan kepada pemain-pemain ketika sesi latihan Harimau Malaysia di Stadium Panasonic, Shah Alam semalam. UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

Fadhilul Izmel Ishak

17 Mac 2017 11:55 PM
SHAH ALAM 17 Mac - Lapan hari lagi Kongres Ke-53 Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal berlangsung untuk menentukan sama ada Tunku Ismail Sultan Ibrahim atau Tan Sri Annuar Musa yang akan memimpin persatuan sukan yang sering dilanda kontroversi itu.

Sebaik sahaja Presiden FAM dipilih daripada kalangan dua calon itu kedudukan pengendali skuad Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee pasti menjadi isu seterusnya.

Kim Swee hampir pasti kehilangan jawatan itu jika Tunku Ismail dipilih sebagai Presiden FAM pada 25 Mac ini. Tunku Mahkota Johor itu sebelum ini memberi isyarat bahawa bekas jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez merupakan bakal jurulatih baharu Harimau Malaysia.

Ini bermakna ada kemungkinan perlawanan persahabatan dengan Filipina pada 22 Mac ini di Manila adalah tugasan terakhir Kim Swee bersama skuad negara.

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Annuar pula tidak memberi bayangan mengenai kedudukan jurulatih dari Melaka itu.

Bagaimanapun, bagi Kim Swee masa depannya bersama Harimau Malaysia tidak akan sesekali berada dalam fikirannya sebaliknya perkara itu diserahkan bulat-bulat kepada FAM sama ada mahu meneruskan khidmatnya atau tidak selepas presiden baharu dilantik.

“Terus-terang saya katakan, saya tidak memikirkan semua itu kerana seperti mana yang saya katakan sebelum ini, setiap presiden sudah tentu mempunyai perancangan tersendiri dan perancangan itu sudah pasti untuk kebaikan pasukan kebangsaan.

“Saya terima sebarang keputusan. Sama ada ini perlawanan terakhir atau pun tidak saya terima. Itu terpulang kepada pihak pengurusan. Tugas saya di sini adalah memberi fokus kepada perlawanan menentang Filipina dan yang lain terpulang kepada pihak pengurusan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kim Swee dilantik oleh FAM sebagai pengendali Harimau Malaysia pada Januari 2016 dengan kontraknya akan berakhir tahun hadapan.

Mengenai persediaan menentang Filipina, Kim Swee memberitahu dia mula menjalankan latihan taktikal sepenuhnya selepas dua pemain Felda United, Hadin Azman dan Farizal Harun menyertai kem latihan pada hari ini setelah beraksi dalam kempen Piala AFC Rabu lalu.

“Perkembangan positif kerana mereka hadir tanpa mengalami sebarang kecederaan malah mereka juga sudah menjalani proses pemulihan selepas menentang Ceres FC dan ini membenarkan mereka menjalani latihan seperti biasa.

“Semua pemain telah hadir dan ini memberi peluang kepada saya dapat melakukan banyak lagi percaturan dan strategi,” katanya, mengenai persediaan skuadnya untuk menentang Filipina di Stadium Memorial Rizal.
Tag Berkaitan
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kim-swee-tidak-peduli-1.458364#ixzz4c0umisuj© Utusan Melayu (M

Tiada ulasan:

Catat Ulasan