Fadhilul Izmel Ishak
21 Mac 2017 12:05 AM
KUALA LUMPUR 20 Mac - Walaupun
beliau adalah wakil daripada sebuah persatuan bola sepak di Kelantan tetapi
Datuk Takiyuddin Hassan melihat Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan
Ibrahim sebagai individu paling sesuai untuk memimpin Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM) berbanding Tan Sri Annuar Musa.
Takiyuddin Hassan
Bagaimanapun, Takiyuddin yang
merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Kelantan tidak berniat
memperkecilkan kebolehan mana-mana calon sambil menegaskan itu adalah
pandangan peribadinya sahaja.
Biarpun beranggapan Tunku Ismail
adalah calon paling sesuai untuk menerajui FAM namun Takiyuddin menegaskan ini
tidak bermakna beliau tidak boleh bekerjasama dengan Annuar sekiranya bekas
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) tersebut memenangi kerusi No. 1
badan induk itu.
“Saya boleh bekerja dengan
sesiapa sahaja dan saya pernah bekerja untuk dua bekas Presiden FAM.
“Saya setuju FAM memerlukan
perubahan drastik untuk meningkatkan lagi taraf bola sepak di negara ini. Orang
yang wajar memimpin FAM adalah individu yang ada wawasan jelas serta bersifat
agresif dalam usaha untuk membangunkan bola sepak dan daripada rekod serta
pencapaian, TMJ adalah calon yang paling sesuai,” katanya kepada Utusan
Malaysia di sini hari ini.
Katanya lagi, keadaan FAM itu
sendiri memerlukan individu seperti TMJ untuk memimpinnya.
“Kedudukan struktur FAM itu
sendiri yang memerlukan orang yang agresif dan ada keberanian. Bukan mahu
menafikan kehebatan orang lain tetapi dalam keadaan begini FAM memerlukan
individu yang agresif.
“Dengan membuat kenyataan seperti
ini bukanlah bermaksud saya mahu memancing undi daripada perwakilan. Semuanya
saya serahkan kepada mereka,” katanya lagi.
Tambah Takiyuddin, berdasarkan
keadaan semasa beliau sedar peminat bola sepak tempatan mahukan wajah baharu
untuk memimpin FAM namun peranan pemimpin sedia ada tidak wajar dinafikan.
“Saya diberi tanggungjawab sebagai
Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain FAM dan telah melakukan beberapa perubahan
untuk menjadikannya lebih sistematik. Saya telah membuat perubahan dengan
mewujudkan sistem format aduan dan kami telah menyelesaikan kemelut tunggakan
gaji pemain serta jurulatih,” katanya lagi.
SUMBERArtikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/8216-tmj-pilihan-tepat-untuk-pimpin-fam-8217-1.459618#ixzz4c0iv3Ugu©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan