JAKARTA - Nama Bambang Pamungkas
seringkali meniti bibir peminat bola sepak Indonesia yang begitu mengharapkan
pemain tersebut dapat memusnahkan impian Malaysia untuk layak ke pertandingan
akhir Piala Tiger 2002 Ahad ini.
Setelah Gendut Donny Christian
digantung perlawanan gara-gara kekasarannya ke atas pemain Vietnam dalam
perlawanan peringkat Kumpulan A, Bambang disandarkan harapan cukup tinggi
bersama-sama Zaenal Ariff untuk menggempur pintu gol lawan.
Namun, penjaga gawang Malaysia,
Azmin Azram Abdul Aziz tidak akan terperangkap dengan keupayaan barisan depan
Indonesia, khususnya Bambang.
``Saya tahu mengenai
ketangkasannya dalam memburu gol tetapi saya sudah bersedia untuk mematahkan
percubaannya dan begitu juga dengan barisan pertahanan,'' katanya ketika
ditemui selepas latihan di Senayan, di sini, semalam.
Menurut Azmin, dengan barisan
pertahanan yang ada, dia yakin Malaysia mampu menghadapi Indonesia walaupun
beraksi di gelanggang lawan.
``Kita mempunyai corak permainan
yang baik dan saya yakin dengan kemampuan rakan-rakan sehingga menjadi
pendorong untuk saya bermain dengan baik,'' katanya.
Kata Azmin, selepas mengharungi
perlawanan getir termasuk menewaskan Thailand 3-1 dalam perlawanan peringkat
Kumpulan B, sudah pasti pemain tidak mahu menoleh ke belakang lagi.
``Kita sudah melangkah jauh,
malah ke separuh akhir dan kemenangan pasti dicari supaya dapat beraksi dalam
saingan akhir,'' tambahnya.
Azmin mengakui bahawa dia bersama
rakan sepasukan begitu mengidam untuk menjulang Piala Tiger selepas gagal dalam
misi sebelum ini.
``Tidak mustahil, jika kita
mempunyai kesungguhan, bukan sahaja Piala Tiger, malah kita juga mampu menjadi
juara dalam kejohanan lain,'' katanya. - Utusan
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cQ4eujyJ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan